Saturday, May 1, 2010

Ratib Al-Attas

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Pujian-pujian kepada Allah swt, Tuhan diri ini, dan sekalian alam.
Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Besar Muhammad SAW serta keluarga dan para sahabat r.anhum,


Tidak dinafikan bahawa zikrullah adalah suatu amalan yang dituntut kita melaksanakannya. Kelalaian untuk zikrullah akan menyebabkan seseorang boleh terjerumus kedalam dosa akibat godaan syaitan sebagaimana yang dinyatakan didalam surah Az-Zukhruf firmanNya :

“Dan sesiapa yang berpaling daripada mengingati Tuhan yang Maha Pemurah, kami adakan baginya syaitan yang menjadi teman rapat baginya”

Oleh itu, tidaklah menjadi pelik para ulama’ telah menghimpunkan berbagai kaifiat dan amalan dalam rangka menjadikan amalan zikrullah sebati dengan diri seseorang muslim. Maka antara himpunan mereka itu adalah RATIB yang membawa maksud zikir-zikir yang disusun kaifiat bacaan dan bilangannya.

Ratib Al-Attas merupakan susunan Habib Umar bin Abdur Rahman Al-Attas, seorang ulama dan wali besar hadramaut yang lahir pada tahun 992 H dan wafat pada 1072 H. Beliau terkenal dengan usaha gigihnya dalam berdakwah dan seorang murabbi yang telah mendidik ramai anak murid yang akhirnya turut menjadi ulama, antaranya ialah Habib Abdullah bin Alawi Al-Haddad. Beliau Habib Abdullah Al-Haddad memuji Habib Umar dengan syairnya :

“Sesungguhnya dialah wali berdarjat qutub dimasanya secara mutlak,
Dan manusia unggul dimasanya tanpa pertikaian”

Faedah

Habib Umar : Adalah telah datang kepadaku orang-orang yang mengadu tentang kemarau dan kesempitan hidup maka aku telah memerintahkan mereka untuk membaca ratib ini dan zikir tauhid yang terkenal selepasnya. Mereka pun melakukannya maka Allah telah melapangkan dan mendatangkan rahmat(hujan) ke atas mereka dengan berkat ratib ini.

Rujukan : 'Azizul Manal wa Fathu Babil Wisol- Pembuka Jalan Mendekatkan Diri Kepada Allah

p/s : Perhatian! Jangan terpedaya dengan segolongan manusia yang menganggap zikir sebagai RACUN. Antara perkara yang selalu dipertikaikan oleh mereka :
Berzikir secara nyaring.
Berzikir secara berjemaah.
Berzikir dengan menentukan bilangan atau masa tertentu.
Maka, kesemua ini adalah tiada mengapa disisi Ahli Sunnah Wal Jamaah. Pada kita Ahli Sunnah, zikir adalah UBAT bagi hati.

No comments: