Sunday, March 11, 2012

Adab Istinjak (2)

Bismillahi Walhamdulillah..
Mudah-mudahan Allah mencurahkan selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad saw yang mengeluarkan umat daripada kegelapan kepada cahaya dan ke atas keluarga serta para sahabatnya yang bersungguh-sungguh mereka itu menzahir dan meninggikan Islam dimuka bumi ini.

1. Istinjak pada makna bahasanya adalah menuntuti memutuskan sesuatu kotoran. Dan pada makna istilahnya adalah menghilangkan suatu yang keluar yang najis yang berlumur daripada faraj (lelaki atau perempuan), menghilangkan daripada faraj dengan air atau batu.

2. Syarat batu itu hendaklah, suci yakni bukan najis, kesat yakni boleh menanggalkan najis, dan bukan daripada suatu yang dihormati seperti buah-buahan atau tulang (bukan dariapda makanan jin dan manusia).

3. Dan tidak termasuk daripada sesuatu yang keluar yang najis itu ialah suatu yang suci, seperti ulat atau biji batu atau angin yang keluar daripada faraj seseorang. Maka tidak wajib istinjak dengan keluarnya suatu yang suci ini daripada faraj seseorang.

4. Sunat sahaja bagi seseorang itu untuk beristinjak apabila keluar ulat dan biji batu. Dan makruh bagi seseorang yang istinjak kerana keluar angin (kentut).

5. Dan tidak dikatakan istinjak apabila menghilangkan najis selain daripada faraj walaupun najis itu keluar daripada faraj seperti najis yang berlumur itu terkena pada bahagian selain daripada faraj (seperti peha) lalu di hilangkan najis daripada tempat yang terlumur dengan najis itu, maka itu tidak disebutkan istinjak.

6. Dan disebutkan menghilang najis dengan menggunakan air atau batu itu adalah " au litanwi' " iaitu "atau" yang menunjuk atas boleh menggunakan kedua-duanya sekali. "Atau" disini bukan menunjuk atas pilih salah satu iaitu tidak boleh menggunakan kedua-duanya sekali.

7. Yang dikehendaki dengan menghilangkan najis iaitu sekira-kira datang sangka yang kuat (zhan) didalam hati bahawa najis itu telah hilang dengan telah hilang 'ain najis (zat najis), rasa, dan warnanya.

8. Tanda bagi seseorang lelaki bahawa telah hilang ain najis daripada farajnya (qubul dan dubur) iaitu disapukannya dari rasa licin di farajnya itu hilang sehingga timbul rasa kesat. Dan tanda bagi seseorang perempuan adalah sebaliknya iaitu kesat kepada licin. Jika masih berbau tangannya dengan bau najis, maka tidak dihukumkan farajnya itu belum suci.

9. Ini suatu perhatian : Adalah segala sesuatu yang lebih-lebih yang keluar daripada zat para anbiya' adalah suci dan tidak diwajibkan atas para anbiya' untuk beristinjak. Adapun, para anbiya' beristinjak itu adalah sebagai suatu tunjuk ajar bagi umat.

Wallahualam.
Ini hanyalah daripada ilmu yang sedikit yang telah aku pelajari daripada masyaikhku. Mohon teguran jika ada salah silap.

Rujukan : 
1. Hasyiah Baijuri 'ala Syarah ibn Qasim li Syeikh Ibrahim Al-Baijuri r.a