Thursday, July 14, 2011

Ilmu semata-mata tiada manfaat




Ini adalah nasihat Imam Ghazali r.a kepada anak muridnya yang meminta supaya diberi nasihat. 

"Wahai anakku yang tercinta,

Ilmu tanpa amalan ialah gila, dan amalan tanpa ilmu pula ialah sia-sia.

Dan ketahuilah bahawasanya ilmu semata-mata masih belum dapat menjauhkan engkau daripada perbuatan maksiat, dan belum mampu mendorong engkau membuat taat, dan tidak akan dapat menjauhkan engkau pada hari qiamat daripada api neraka. Dan apabila engkau tidak beramal dengan ilmu yang ada pada dirimu dan engkau tidak membuat pembetulan terhadap segala kesilapan yang engkau lakukan pada masa yang lalu, kelak engkau akan berkata di hari qiamat nanti..

Maksud: "(Wahai tuhan) kembalikan aku kedalam dunia untuk aku beramal soleh". -Surah Sajadah:12-


Lalu dikatakan kepada engkau,

"Wahai si bodoh, kenapa engkau hendak kembali dari sana sedang engkau baru sahaja datang dari sana".

-------------------------------------------------------------------------------------------

Imam Ghazali memberi tunjuk ajar kepada kita bahawa ilmu semata-mata masih tidak memberi manfaat kepada kita, maka bagaimanakah dengan orang yang tiada ilmu?

Tuntutlah ilmu. Sedikitpun tiada kerugian bagi orang-orang yang menuntut ilmu, sebaliknya yang kerugian adalah orang yang tidak menuntut ilmu.
Kata guru kami Baba Idris bin Ali Al-Fathani : " Ngaji ilmu biar lebih pun takpe, tak rugi, yang ruginya ngaji kurang".

Tuntutlah ilmu-ilmu yang boleh melepaskan diri kita daripada api neraka iaitu ilmu tauhid, fiqah, dan tasawuf.
Tiliklah diri kita sejauh mana kefahaman kita tentang ketiga-tiga ilmu yang dapat melepaskan kita daripada neraka. Sehari-hari kita diberi nikmat yang banyak sehingga melalaikan diri kita akan tanggungan-tanggungan yang diberi Allah setiap detik untuk mengamalkan ketiga-tiga ilmu ini. Tetapi, bagaimanakah amalan seharian kita tanpa kefahaman akan ketiga-tiga ilmu ini? Dimanakah kedudukan kita sekarang dihadapan Allah?

Wallahua'lam.

Rujukan: 
1. Kitab Ayyuhal Walad

Tuesday, July 5, 2011

Keutamaan IbuBapa

Sabda Rasulullah saw : " Berbuat baik terhadap ibubapa itu terlebih afdal daripada sembahyang dan sedekah dan puasa dan haji dan 'umrah dan jihad fi sabilillah"

Terkadang seorang anak terlepas pandang tentang perkara ini. Mereka mendahulukan perkara-perkara lain daripada berbuat baik terhadap ibubapanya kerana menyangka bahawa perkara yang lain itu terlebih utama daripada berbuat baik kepada ibubapa, seperti menunaikan haji dan umrah tetapi mengabaikan ibubapanya. 

Seorang anak yang taat akan Allah tetapi tidak mentaati akan ibubapanya maka taatnya akan Allah itu tidak dikira, dan taat seorang anak kepada ibubapa itu adalah ia telah berbuat taat kepada Allah.

Kata Imam Ghazali ra : " Diriwayatkan daripada setengah ulama' bahawasanya Allah telah bertitah kepada Nabi Musa as, Hai Musa! Bahawasanya barangsiapa yang berbuat taat akan ibubapanya dan derhaka ia akan Aku nescaya aku suratkan baginya kebajikan, dan barangsiapa yang derhaka akan ibubapanya  tetapi taat akan Aku nescaya aku suratkan baginya kejahatan.

Seorang anak hendaklah ia mendahulukan ibunya daripada bapanya kerana jasa ibu yang terlebih besar daripada bapa dalam membesarkan anak, ketika dalam kandungan, beranak, menyusukan, dan mendidik.

Sabda Rasullullah saw : "Bermula berbuat kebajikan akan ibu atas anak itu dua kali ganda daripada berbuat kebajikan akan bapa atas anak kerana ibu terlebih susah dan payah pada ketika beranaknya dan mentarbiahkan anak dari kecil hingga dewasa barangkali ia semalaman tidak tidur sebab mengawalkan anaknya itu"

Dan kata Malik bin Rabiah ra : " Adalah pada satu masa telah datang kepada Rasulullah saw seorang lelaki daripada bani Salamah, maka berkata ia, Ya Rasullullah saw, adakah tinggal atasku daripada berbuat kebajikan atas ibubapaku kemudian daripada keduanya meninggal dunia? Ya, iaitu sembahyang atas keduanya, istighfar bagi keduanya itu dan menyelesaikan janji-janji keduanya dan memuliakan akan kekasih keduanya itu dan menghubungkan kerabat "

Kata Syeikhuna, Tuan Guru Haji Mohd Hafidz bin Hj Selamat, inilah salah satu dalil bahawa roh orang Islam sentiasa berhubung samaada yang masih hidup jasadnya atau yang telah mati jasadnya. Dan bahawa sampai bacaan-bacaan AlQuran dan zikir kepada orang yang telah mati.

Ketika datang Jibril as bertanya kepada Rasulullah saw bertanya tentang apakah tanda-tanda Qiamat maka Rasulullah saw bersabda, " Ibu melahirkan tuan".

Kalau zaman dahulu, ibubapa menjadi pengarah didalam rumah kepada anak-anak. Betapa hari ini anak menjadi pengarah didalam rumah kepada ibubapa. Perintah-perintah ibubapa sudah tidak lagi ditaati. Larangan ibubapa dilanggarinya.  
Anak-anak sudah hilang hormat terhadap ibubapa. Melupai akan jasa ibubapa yang melahirkannya dan mendidiknya dari kecil. Apabila anak sudah dewasa, mendapat sijil dan gelaran doctor dan professor, mendapat jawatan dan harta, ibubapa sudah tidak dipandangnya, dianggap seperti kawan, bahkan anak-anak hari ini melebihkan kawan daripada ibubapa. Sedangkan ketika kecil dahulu, segala masalah diadu kepada ibubapa. Minta pertolongan ibubapa. Ketika si anak tiada jawatan dan harta. Susu minta dibuatkan, lampin dan pakaian minta dipakaikan, sakit minta diubati. Ibubapa bersusah payah bangun malam kerana anak menangis.Kawan yang baru kenal 3 4 tahun diutamakan daripada ibubapa yang menjaga dan mendidiknya 20 30 tahun. Apalah yang ada pada anak yang derhaka? Hanyalah meminta murka Allah. 

Balasan Allah atas anak yang derhaka adalah didunia.

Sabda Rasullullah saw : " Bahawasanya syurga itu diperoleh baunya perjalanan sejauh 500 tahun dan tiada mendapat baunya itu orang-orang yang derhaka kepada ibubapanya dan tiada mencium akan dia oleh orang yang memutuskan kerabatnya ".

Wal'iyazubillah. Mudah-mudahan kita menjadi anak yang taat kepada ibubapa.