Tuesday, July 5, 2011

Keutamaan IbuBapa

Sabda Rasulullah saw : " Berbuat baik terhadap ibubapa itu terlebih afdal daripada sembahyang dan sedekah dan puasa dan haji dan 'umrah dan jihad fi sabilillah"

Terkadang seorang anak terlepas pandang tentang perkara ini. Mereka mendahulukan perkara-perkara lain daripada berbuat baik terhadap ibubapanya kerana menyangka bahawa perkara yang lain itu terlebih utama daripada berbuat baik kepada ibubapa, seperti menunaikan haji dan umrah tetapi mengabaikan ibubapanya. 

Seorang anak yang taat akan Allah tetapi tidak mentaati akan ibubapanya maka taatnya akan Allah itu tidak dikira, dan taat seorang anak kepada ibubapa itu adalah ia telah berbuat taat kepada Allah.

Kata Imam Ghazali ra : " Diriwayatkan daripada setengah ulama' bahawasanya Allah telah bertitah kepada Nabi Musa as, Hai Musa! Bahawasanya barangsiapa yang berbuat taat akan ibubapanya dan derhaka ia akan Aku nescaya aku suratkan baginya kebajikan, dan barangsiapa yang derhaka akan ibubapanya  tetapi taat akan Aku nescaya aku suratkan baginya kejahatan.

Seorang anak hendaklah ia mendahulukan ibunya daripada bapanya kerana jasa ibu yang terlebih besar daripada bapa dalam membesarkan anak, ketika dalam kandungan, beranak, menyusukan, dan mendidik.

Sabda Rasullullah saw : "Bermula berbuat kebajikan akan ibu atas anak itu dua kali ganda daripada berbuat kebajikan akan bapa atas anak kerana ibu terlebih susah dan payah pada ketika beranaknya dan mentarbiahkan anak dari kecil hingga dewasa barangkali ia semalaman tidak tidur sebab mengawalkan anaknya itu"

Dan kata Malik bin Rabiah ra : " Adalah pada satu masa telah datang kepada Rasulullah saw seorang lelaki daripada bani Salamah, maka berkata ia, Ya Rasullullah saw, adakah tinggal atasku daripada berbuat kebajikan atas ibubapaku kemudian daripada keduanya meninggal dunia? Ya, iaitu sembahyang atas keduanya, istighfar bagi keduanya itu dan menyelesaikan janji-janji keduanya dan memuliakan akan kekasih keduanya itu dan menghubungkan kerabat "

Kata Syeikhuna, Tuan Guru Haji Mohd Hafidz bin Hj Selamat, inilah salah satu dalil bahawa roh orang Islam sentiasa berhubung samaada yang masih hidup jasadnya atau yang telah mati jasadnya. Dan bahawa sampai bacaan-bacaan AlQuran dan zikir kepada orang yang telah mati.

Ketika datang Jibril as bertanya kepada Rasulullah saw bertanya tentang apakah tanda-tanda Qiamat maka Rasulullah saw bersabda, " Ibu melahirkan tuan".

Kalau zaman dahulu, ibubapa menjadi pengarah didalam rumah kepada anak-anak. Betapa hari ini anak menjadi pengarah didalam rumah kepada ibubapa. Perintah-perintah ibubapa sudah tidak lagi ditaati. Larangan ibubapa dilanggarinya.  
Anak-anak sudah hilang hormat terhadap ibubapa. Melupai akan jasa ibubapa yang melahirkannya dan mendidiknya dari kecil. Apabila anak sudah dewasa, mendapat sijil dan gelaran doctor dan professor, mendapat jawatan dan harta, ibubapa sudah tidak dipandangnya, dianggap seperti kawan, bahkan anak-anak hari ini melebihkan kawan daripada ibubapa. Sedangkan ketika kecil dahulu, segala masalah diadu kepada ibubapa. Minta pertolongan ibubapa. Ketika si anak tiada jawatan dan harta. Susu minta dibuatkan, lampin dan pakaian minta dipakaikan, sakit minta diubati. Ibubapa bersusah payah bangun malam kerana anak menangis.Kawan yang baru kenal 3 4 tahun diutamakan daripada ibubapa yang menjaga dan mendidiknya 20 30 tahun. Apalah yang ada pada anak yang derhaka? Hanyalah meminta murka Allah. 

Balasan Allah atas anak yang derhaka adalah didunia.

Sabda Rasullullah saw : " Bahawasanya syurga itu diperoleh baunya perjalanan sejauh 500 tahun dan tiada mendapat baunya itu orang-orang yang derhaka kepada ibubapanya dan tiada mencium akan dia oleh orang yang memutuskan kerabatnya ".

Wal'iyazubillah. Mudah-mudahan kita menjadi anak yang taat kepada ibubapa.

No comments: