Soalan yang baik itu tentunya datang daripada kefahaman yang baik dan sebaliknya akan berlaku apabila ia datang daripada kefahaman yang kurang baik. Setiap manusia itu adalah makhluk dan setiap makhluk itu bukan manusia. Setiap yang hidup itu pasti akan mati tetapi yang Maha Hidup itu tiada matinya, kekal ia dengan ZatNya yang Maha Agung sebagaimana pada sediakalanya. Perkataan "setiap" yang difahami dengan baik akan melahirkan kefahaman yang baik.
Penulis menyatakan serba sedikit perkataan "setiap" yang ada didalam Al-Quran Al-Karim dan Al-Hadis As-Syarif yang menjadi rujukan utama umat Islam :
Al-Quran
1. "Dan di balik mereka ( para nelayan ) ada seorang raja yang akan merampas setiap kapal dengan paksa." (Surah Al-Kahfi : 79)
2. "Dan setiap yang bernyawa itu pasti akan mati"
3. "Setiap sesuatu pasti akan binasa." ( Surah Ar-Rahman )
4. "Dan Kami jadikan setiap yang hidup itu daripada air." ( Surah Al-Anbiya' : 30 )
Hadis
1. "Tiap-tiap yang baharu itu adalah sesat."
Disini penulis menyatakan beberapa jenis bahasan yang diguna pakai oleh ulama' dalam menghadapi perkataan "kullu" didalam Al-Quran dan Hadis.
1. Ilmu Usul Fiqh
Dalam ilmu usul fiqh ada kalimat yang bersifat umum dan maksudnya adalah khusus ('Ammun Makhsus).
Contoh kaedah ini seperti firman Allah dalam Al-Quran : " Dan dibalik mereka (para nelayan) ada seorang raja yang akan merampas semua kapal dengan paksa ".
(Surah Al-Kahfi : 79)
Zahir daripada ayat ini menyebut "setiap kapal" menunjukkan umum semua kapal, tapi yang dimaksud dengan "setiap" dalam ayat ini ialah kapal yang akan dirampas adalah kapal yang baik, sebab itu Nabi Khidir as hanya merosakkan kapal-kapal yang baik.
Contoh yang lain seperti sabda Nabi saw : " Tiap-tiap bid'ah itu adalah sesat "
Zahir daripada hadis ini perkataan "tiap-tiap bid'ah" menunjukkan umum bahawa semua yang baharu itu sesat, sedangkan yang dimaksud hadis itu adalah khusus pada bid'ah yang tertentu yakni bid'ah yang bercanggah dengan Al-Quran dan Hadis. Adapun bid'ah yang tidak bercanggah dengan Al-Quran dan Hadis tidaklah termasuk dalam perkataan "tiap-tiap bid'ah" dalam hadis ini.
2. Ilmu Balaghah
Didalam ilmu balaghah ada satu kaedah ertinya, " Membuang sifat dari sesuatu yang diberi sifat ".
Contoh kaedah ini seperti firman Allah dalam Al-Quran : " Dan dibalik mereka (para nelayan) ada seorang raja yang akan merampas semua kapal dengan paksa ".
(Surah Al-Kahfi : 79)
Sesuatu yang diberi sifat itu adalah kapal. Sifat yang dibuang itu adalah baik. Maka yang dimaksud dengan kapal dalam ayat ini adalah kapal yang baik, tapi sifat baik dari kapal itu tidak disebutkan (dibuang) dalam ayat ini, seharusnya dikatakan dalam ayat ini "semua kapal yang baik", oleh sebab itu Nabi Khidir as hanya merosakkan kapal yang baik supaya tidak dirampas oleh raja.
3. Ilmu Mantik
Dalam ilmu mantik, perkataan "kullu" itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu " kullu majmu' '" dan " kullu jami'." Kullu majmu' adalah kullu yang membawa erti sebahagian manakala kullu jami' membawa erti setiap/semua.
a. Contoh bagi kullu majmu' seperti sabda Nabi saw menjawab soalan Zulyadain yang bertanya adakah solat zohor telah diqasarkan ( dipendekkan ) atau Rasulullah lupa? Kemudian baginda saw menjawab, " Sebahagian daripada yang demikian (soalan yang ditanya) itu tidak terjadi ". Sebahagian yakni solat zohor itu tidak diqasarkan, hanya Rasullullah lupa.
Perkataan "kullu" (yang diterjemahkan kepada sebahagian) didalam hadis ini menunjukkan kullu majmu'.
b. Contoh bagi kullu jami' seperti firman Allah dalam Al-Quran : " Setiap yang bernyawa pasti akan mati ".
Perkataan "kullu" dalam ayat ini diterjemahkan kepada setiap kerana membawa makna semua menunjukkan kullu jami'. Secara dalil dan realitinya bahawa setiap yang bernyawa itu ada akhirnya iaitu mati dan Yang Maha Hidup itu jua kekal abadi.
Rujukan:
1. Apakah bid'ah itu? oleh Kiyai Syukran Ma'mun
2. Persoalan Khilafiyah dan Penjelasan Ulama' oleh Ust Muhadir bin Hj Joll
No comments:
Post a Comment