Monday, May 30, 2011

Wajah

Rukun kedua mengambil wudhuk adalah membasuh wajah.

Wajah ertinya muka. Bermula muka itu sebahagian daripada kepala. Muka adalah kawasan kepala yang menghadap ke hadapan, sekaliannya adalah muka.

Had panjang muka iaitu bermula daripada tempat tumbuh rambut (atas) sehingga bawah tulang dagu (bawah).

Dan had lebar muka iaitu bermula daripada anak telinga kiri ke anak telinga kanan. Kata setengah ulama', daripada telinga kiri ke telinga kanan. Keluar daripada khilaf itu sunat.  

Beberapa perhatian : 

1. Segala rambut yang tumbuh di dalam kawasan muka adalah wajib di basuh.

Contoh1 : Rambut perempuan yang dibahagian sideburn (jika pada lelaki) adalah wajib dibasuh keseluruhannya, jika panjangnya sepanjang tembok cina sekalipun, kerana ia adalah termasuk didalam had muka. Jika ditarik dan diikat rambut itu kebelakang, maka tidak sah wudhuknya. Dan apabila tidak sah wudhuknya, tidak sah lah sembahyangnya, sama seperti orang yang tidak sembahyang. Begitu juga pada ketumbuhan yang ada didalam had muka, wajib dibasuh sekaliannya.

Contoh2 : Bagi janggut lelaki yang tebal (yakni sekira-kira tidak nampak kulit mukanya apabila dipandang dari hadapan), memada lah hanya menyampaikan air kepada zahir bulu janggut sahaja.

2. Wajib melebihkan basuhan daripada had muka.

Contoh : Lebihkan basuhan dibawah tulang dagu. Begitu juga hidung, dilebihkan sedikit daripada had zahir hidung. Dan demikian juga anak telinga.

-------------------------------------------------------------------------------------------
Berilah perhatian pada masalah ini, satu bahagian daripada bahagian-bahagian sembahyang ini. Mudah-mudahan amalan sembahyang kita diterima oleh Allah swt dan dipelihara diri kita daripada perkara keji dan mungkar sebagaimana firmanNya : " Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perkara keji dan mungkar".

Betapa setiap hari kita bersembahyang menunaikan perintahNya, tetapi adakah sembahyang kita menjadi benteng mencegah diri kita daripada perkara yang maksiat? Mengumpat adalah maksiat, membuka aurat adalah maksiat, menunjuk-nunjukkan kecantikan adalah maksiat, memakai wangian supaya di bau oleh lelaki yang ajnabi adalah maksiat, melihat perempuan adalah maksiat, berdua-duaan lelaki perempuan yang ajnabi adalah maksiat, menghina dan mengeji orang lain adalah maksiat, minum arak, rasuah, zina, buang anak dan sebagainya. Inilah salah satu punca maksiat berleluasa, perkara keji dan mungkar bertambah-tambah hari demi hari, puncanya apa? Jahil ilmu agama.

Hanyalah sembahyang kita menjadi sembahyang pada pandangan manusia, tetapi ia nya sia-sia pada pandangan Allah swt. Maka tuntutlah ilmu yang fardhu 'ain wahai saudara-saudaraku.

Wallahua'lam.
Ini hanyalah daripada ilmu yang sedikit yang telah aku pelajari daripada masyaikhku. Mohon teguran jika ada salah silap. 

2 comments:

~ AlFaqeerah Ila Rabbi ~ said...

Assalamu'alaikum,

terima kasih atas perkongsian ni, ilmu yg berguna, alhamdulillah.

Abu Muhammad Al-Mujahid said...

Wslam,

bolehlah dikongsikan pada sahabat2 yang lain.