Monday, February 14, 2011

Marhaban Ya Rasulullah..

Sambutan MaulidurRasul bertempat di Yayasan Al-Jenderami pada 17hb-19hb Februari 2011 (Khamis-Sabtu). Semua dijemput hadir. Dijangka lebih 60 ulama' dalam dan luar negara yang akan turut hadir.  Info lanjut : www.aljenderami.com



Sempena hari kelahiran Rasullullah saw iaitu 12 Rabiulawal 1432 H, aku tuliskan sedikit sajak yang dikarang oleh Al-Imam Arif Billah Habib Ali bin Muhammad bin Husin Al-Habsyi didalam kitabnya Simtud Durar. 
 
..Dan ketika hampir tiba saatnya,
kelahiran insan tercinta ini,
gema ucapan selamat datang yang hangat
Berkumandang dilangit dan bumi
Hujan kemurahan Ilahi tercurah dengan lebatnya.
Lidah malaikat bergemuruh
Mengumumkan khabar gembira
Kuasa Allah menyingkap tabir rahsia tersembunyi,
Membuat cahaya nur nya terbit sempurna di alam nyata
Cahaya mengungguli segenap cahaya!

Ketetapan Nya pun terlaksana
Atas orang-orang pilihan
Yang nikmatNya disempurnakan bagi mereka
Yang menunggu detik-detik kelahirannya
Sebagai penghibur peribadinya yang beruntung,
Dan ikut bergembira mereguk nikmat berlimpah ini.

Maka hadirlah taufik Allah AsSayidah Maryam dan Assayyidah Asiah
Bersama keduanya datang mengiring
Sejumlah bidadari syurga yang beroleh kemuliaan agung
Yang dibagi-bagikan oleh Allah atas mereka yang dikehendaki.

Dan tibalah saat yang telah diatur Allah
Bagi kelahiran maulud ini
Maka menyinsing lah fajar keutamaan nan cerah
Terang benderang menjulang tinggi.
Dan lahirlah insan pemuji dan terpuji 
Tunduk khusyu' dihadapan Allah
Dengan segala penghormatan tulus dan sembah sujud.

 ... Mahallul Qiyam




p/s : Berdiri berselawat ke atas junjungan Nabi saw adalah sebahagian daripada membesarkan dan memuliakan kehadiran junjungan Nabi besar kita saw. Mudahan-mudahan kita dipilih oleh Allah swt terdiri daripada golongan orang yang memuliakan Rasullullah saw dan bukan orang yang merendah-rendahkan junjungan kita saw. Allah yang Maha  Memberi Taufik dan Hidayah

Friday, February 11, 2011

Bulan RABIULAWAL Bulan Rahmat

Rasullullah saw tumbuh dgn sifat-sifat yang paling sempurna,
Dikelilingi selalu pemeliharaan Allah Maha Kuasa serta diliputi rahmatNya berlimpah-limpah.

Ia tumbuh dalam sehari,
seperti bayi lain dalam sebulan.
Keluhuran peribadinya tampak sempurna
Sejak usianya yang amat muda,
Menjadi saksi bahawa dialah penghulu keturunan Adam semuanya.

Bintang-bintang kemujuran selalu bersamanya
Demikian pula segenap benda di alam ini
Menampakkan kesetiaan dan kepatuhan padanya.

Tiap kali ia " meniupi" penderita sakit
Niscaya Allah melimpahkan kesembuhan baginya,
Tiap kali berdoa memohon hujan,
Niscaya Allah selalu menurunkannya.

Demikianlah keadaanya sehari-hari
Sampai ia telah melewati masa mudanya
Dan mencapai usia dewasa.
Saat itulah Allah mengkhususkannya,
Dengan kemuliaan hanya baginya seorang.

Dan turunlah Jibril a.s arRuhul Amin,
Membawa khabar gembira dari Tuhannya Seru Sekalian Alam,
Membacakan baginya ayat-ayat suci Al-Quran Al-Hakim,
Demi memenuhi firmanNya :
" ...Dan sesungguhnya kepadamu telah diberikan AlQuran dari hadirat Allah Maha Bijaksana Lagi Maha Mengetahui"

Adapun mula pertama diturunkan kepadanya,
Diantara ayat-ayat suci padat berisi
Yang berasal dari hadirat Allah swt ialah:
" Bacalah dengan nama Tuhanmu-lah yang paling mulia!
Yang mengajar dengan kalam;
Mengajar manusia apa yang tiada ia tahu..."

Oh... betapa agungnya khabar gembira ini
Kurnia sempurna yang datang dari Allah
Maha Pengasih Lagi Maha Pemurah,
Lalu dikuatkan lagi dengan firmanNya :
" Ar-Rahman, Tuhan Maha Pemurah, 
Mengajarkan AlQuran, 
Mencipta insan,
Lalu diajarinya fasih perkataan..."

Dan tiada syak lagi,
Tentulah dia saw,
Insan yang dimaksudkan dengan pemberian ajaran itu,
Dari hadrat Allah Maha Rahman dan Rahim.

Limpahkan Ya Allah,
Semulia-mulia selawat dan salam,
Atas junjungan dan Nabi kami Muhammad saw,
Yang amat penyantun, amat penyayang.

Sumber : Maulid SimtudDurar karangan Imam Arif Billah Habib Ali bin Muhammad bin Husin Al-Habsyi
------------------------------------------------------------------------------------------------------

p/s : Menyebut-nyebut kemuliaan insan yang mulia ini sempena dibulan kelahirannya. Melihat betapa ramai manusia yang beria-ia bergembira menyambut hari kelahiran dirinya dan teman-temannya, lupa dan mengendahkan untuk menyambut hari kelahiran kemuliaan semulia-mulia insan yang menjadi wasilah kepada Allah swt. Diri seperti batu apabila hendak ke majlis-majlis yang menyebut-nyebut kemuliaan insan yang mulia (Maulidurrasul), diri seperti kapas apabila hendak ke majlis-majlis maksiat dan dunia.

Thursday, February 3, 2011

Keutamaan Ulama'

Ilmu itu terlebih utama daripada sekalian perkara duniawi ( harta, nama, pangkat dan sebagainya). Maka, yang memiliki ilmu itu tentulah terlebih utama berbanding yang memiliki perkara duniawi.



Ibarat

Simpanan dirumah ada 3 jenis barang :

1- Barang keperluan harian seperti nasi. Nasi adalah makanan asas. Sebagai makanan asas, pasti ia adalah yang paling banyak disimpan dirumah.

2- Barang yang diperlukan pada waktu tertentu seperti ubat-ubatan. Ubat diperlukan pada waktu ketika sakit, ia adalah barang yang tidak diperlukan banyak simpanan, hanya sekadar keperluan.

3- Barang yang memudaratkan seperti racun. Ini bahaya, jika tidak dijaga, boleh membawa mudarat.

Hasillah daripada ibarat diatas bagi orang-orang yang berakal bahawa rumah itu ibarat kehidupan. Nasi itu ibarat ilmu ukhrawi, ubat itu ibarat ilmu duniawi, dan racun itu adalah perkara-perkara yang merosakkan diri.
Ambillah ilmu ukhrawi itu seperti mana kamu mengambil nasi sebagai makanan harian. Ambillah ilmu duniawi itu seperti mana kamu mengambil ubat. Dan janganlah kamu mengambil sedikitpun perkara-perkara yang memudaratkan diri kamu itu seperti ilmu hitam seperti mana kamu tidak mengambil racun. Maka qiaskanlah ibarat ini pada hal yang lain-lain.

Tidakkah kalian lihat bahawa ramai manusia hari ini yang banyak menyimpan ubat dan racun dalam rumahnya berbanding menyimpan nasi? Sebab itulah roh manusia pada hari ini mati.Mati kerana kelaparan. Lapar dengan ilmu-ilmu ukhrawi kerana berpegang dengan mentaliti "aku dah sekolah agama waktu kecil-kecil sekolah dulu". Ilmu ukhrawi sekadar tahap budak-budak, ilmu duniawi tahap dewasa. Tidakkah pernah kita melihat akibat orang yang makan terlalu banyak ubat-ubatan? Adakah memberi kesan yang baik pada badan (jasad)?

Maka banyak manusia hari ini yang berlumba-lumba dengan ilmu dunia kerana tarikan dunia yang terlalu kuat pada hari ini, mahukan sijil yang besar2, pangkat besar, gaji besar, tetapi sedikit manusia yang mengambil ilmu duniawi ala kadar dan berlumba-lumba utk ilmu ukhrawi, kerana apa? Kerana ilmu ukhrawi tidak mendapat gaji yang besar, pangkat besar, kereta besar, rumah besar sebaliknya hanya utk mendapat syurga dan redha Allah.

" Berbahagialah orang yang beruntung, celakalah orang yang rugi".

Renung-renungkan..

Jikalau manusia itu bijak, dia akan mengambil ulama' sepertimana ia mengambil nasi sebagai makanan harian, iaitu melazimi para ulama' dan mengambil doktor, arkitek, jurutera atau seumpamanya sepertimana ia mengambil ubat sebagai keperluan sahaja dan menjauhi artis-artis sepertimana ia menjauhi daripada racun.

Wallahua'lam.

Tuesday, February 1, 2011

Bala' : Amalan Bulan Safar

Dalam kitab Fawaidul Ukhrawiyah disebutkan, bahawa diturunkan bala' dalam setiap tahun 320 (setengah riwayat, 70000) macam bala' dan semuanya turun pada hari rabu terakhir bulan Safar. Dan barangsiapa sembahyang dengan cara seperti dibawah ini insyaAllah selamat daripada bala'.



Menurut kitab Ta'liqah, sebelum sembahyang hendaklah kita mandi dengan niat :

"Sahaja aku mandi dari bulan Safar untuk menolak bala dan minta dipelihara dari fitnah Dajjal , sunat kerana Allah taala"

Setelah berwudhu' sempurna lalu kita sembahyang 4 rakaat dengan suatu salam.

Lafaz niatnya:

" Sahaja aku sembahyang 4 rakaat untuk menolak akan bala', sunat kerana Allah taala"

Ayatnya setelah fatihah ialah :

Rakaat pertama - Surah Al-Kausar 17x
Rakaat kedua - Surah Al-Ikhlas 5x
Rakaat ketiga - Surah Al-Nas 1x
Rakaat keempat - Surah Al-Falaq 1x

Setelah selesai sembahyang bacalah surah Yaasin dan apabila sampai di ayat " Salamun..." (ayat 58) hendaklah diulang ayat tersebut 313 kali. Kemudian selesaikan bacaan Yaasin.

Setelah selesai, bacalah doanya yang tertentu. Dibawah adalah sebahagian daripada doanya.


Semoga dengan amalan ini kita dipelihara oleh Allah daripada bala' yang besar ataupun kecil samaada berbentuk bencana atau perpecahan atau lain2. InsyaAllah.

Wednesday, January 19, 2011

Ilmu Warisan Ulama'

Bermula ilmu itu sifat. Sifat berhajat kepada sesuatu, maka wajib ia berdiri pada sesuatu yang lain iaitulah zat. Dikenalkan seseorang itu berani kerana ada sifat berani padanya, dikenalkan seseorang itu bijaksana kerana ada sifat bijak padanya, dan dikenalkan orang itu ulama' kerana ilmunya. Maka yang dikehendaki ilmu disini adalah ilmu agama. Sehebat mana atau sebijak mana seseorang itu didalam ilmu selain ilmu agama, tidak akan ia diberi gelaran ulama'.


Ulama itulah pewaris anbiya'. Iaitulah orang-orang yang mewarisi ilmu-ilmu para nabi samada ilmu zahir ataupun batin. Kerana merekalah sampainya apa yang disampaikan oleh Nabi besar kita saw. Tanpa mereka, tentu sekali kita kebuntuan arah hala tuju, manusia mana yang tidak sesat jalan tanpa ada petunjuk jalan.


Seperti "kacang lupakan kulit", begitulah kata orang2 tua dahulu apabila melupakan jasa seseorang. Ramainya manusia hari ini yang lupa asal usulnya kerana tertipu dengan pakaian-pakaian keduniaan, sibuk mengukur ketinggian dan kecantikan dirinya samaada pada pangkat, harta, jawatan, ataupun nama. Mereka itu melihat pada hasil yang dihasilkannya tetapi lupa bagaimana ia terhasil.

Jika bukan kerana ulama', tidak Islam kita hari ini, jika bukan kerana ulama', tidak kita kenal agama Islam pada hari ini, jika bukan kerana ulama', tidak kita hidup aman harmoni,  jika bukan kerana ulama', matilah kita dalam kekufuran, wal'iyazubillah.

Bagaimanakah adabnya kita kepada para alim ulama' yang berjasa yang tidak pernah meminta walau se sen dalam dakwah mereka itu?
Adakah hanya dengan hanya melupakan mereka itu dikira sebagai beradab?
Adakah hanya dengan kata-kata yang kesat kepada mereka itu dikira sebagai beradab?
Adakah dengan sangkaan-sangkaan yang buruk kpd mereka itu dikira sebagai beradab?
Atau adakah kerana ilmu yang ada pada kita pada hari ini datangnya dengan tanpa belajar? Seolah-olah hidup tidak bermula dengan jahil.


Maka hanya berapa ramaikah orang pada hari ini yang masih menyebut-nyebut sejarah ulama' atau pesanan-pesanan ulama' atau nasihat-nasihat ulama'? Sibuk dengan kata-kata orientalis, sibuk dengan kata-kata pemimpinnya, sibuk dengan kata-kata ahli falsafah, politik, dan sebagainya. Teramat menyanjung mereka yang tidak patut dijunjung ibarat kata "anak dirumah ditinggalkan, beruk di hutan disusui".

Seringkali perkataan menentang sekular didengari tetapi lupa seperti tidak sedarkan diri bahawa diri sendiri termakan penyakit sekular ibarat kata seperti meludah kelangit. 

Wallahu taala a'la waa'lam.

Monday, January 17, 2011

Kefardhuan Menuntut Ilmu

Setelah aku nyatakan beberapa kelebihan ilmu daripada kelebihan-kelebihan ilmu yang amat banyak, aku nyatakan serba sedikit disini kefarduan menuntut ilmu.


                                           


Sabda Rasulullah : "Menuntut ilmu itu wajib bagi tiap-tiap muslim" (Riwayat Ibn Majah)

Ilmu itu teramat banyak sama ada yang bangsa dunia atau bangsa akhirat. Manusia itu diciptakan Allah dan diperintahkan olehNya untuk beribadat kepadaNya. Ibadat adalah pengabdian kepada Allah. Manakala maksiat adalah kemurkaan daripada Allah.
Ibadat yang sah itu berhajat kepada kepada ilmu, maka wajib atas tiap-tiap mukallaf menuntut ilmu supaya dapat oleh mereka beribadat kepada Allah. Maka ilmu-ilmu yang fardhu ain itu adalah ilmu akidah, feqah, dan tasawuf.
Adapun ilmu seperti usul fiqh, tafsir, qiraat, taranum, engineering, arkitek dan lainnya adalah ilmu fardhu kifayah. Haram apabila seseorang itu meninggalkan mempelajari ilmu fardhu ain dengan mendahulukan ilmu fardhu kifayah.

Ramai manusia yang melihat bencana alam atau peperangan atau kemarau atau kemalangan itu sebagai satu bala' yang besar, tetapi lupa mereka itu akan bala' yang lebih besar daripada kesemua itu iaitu bala' meninggalkan mempelajari ilmu fardhu 'ain. Maka, sunat akan sebagai sunat haiah kita membaca doa qunut  pada tiap-tiap sembahyang fardhu kerana bala' yang sedang menimpa pada hari ini .

Sebahagian daripada tipudaya-tipudaya syaitan ke atas orang-orang yang beramal iaitu beramal ia tanpa mengetahui kaifiat-kaifiatnya (cara-caranya), beramal ia tanpa mengetahui perkara-perkara yang merosakkan amal ibadatnya dan gemar ia membanyakkan amalan sunat daripada amalan wajib dan memperbanyakkan amal solehnya ketika di khalayak ramai dan mengurangkan amal solehnya ketika seorang dirinya dan berkata-kata ia dalam hatinya menyangkakan bahawa ia telah benar hakikatnya ia salah . Wallahu taala a'la waa'lam.

Sunday, January 16, 2011

Kelebihan Ilmu

Ilmu itu cahaya. Tiada manusia yang hidup melainkan perlu kepada cahaya. Manusia itu dilebihkan atas makhluk-makhluk lain kerana ilmunya.

Disini aku nyatakan beberapa kelebihan ilmu supaya menjadi suka bagi orang  muslimin menuntut akan ilmu.


Riwayat Malik Ibn Dinar : " Barangsiapa yang menolong akan orang yang menuntut ilmu diberi akan dia oleh Allah taala suratnya dengan tangan kanannya dan barangsiapa kasih akan orang menuntut ilmu ssesungguhnya ia kasih akan anbiya' dan barangsiapa kasih akan anbiya' maka sesungguhnya ia serta anbiya' dan barangsiapa benci akan penuntut ilmu maka bahawasanya benci ia akan anbiya' dan balasannya adalah neraka jahanam"

Dan lagi sabda nabi saw : "Barangsiapa belajar akan satu bab daripada ilmu supaya diamalkan dengan dia dan mengajar akan dia orang lainya adalah terlebih baik baginya daripada lima ratus rakaat yang dirukuknya akan dia dan barangsiapa belajar satu bab daripada ilmu supaya diamalkan dengan dia dan mengajar akan dia orang lainya adalah terlebih baik baginya seribu rakaat yang dirukuknya".

Dan sabdanya lagi : "Bahawasanya setengah daripada manusia itu beberapa manusia masuk mereka itu akan syurga semata-mata" maka sembah mereka itu  "Ya Rasulullah, siapa mereka itu?" Baginda bersabda, " Mereka yang ada pada hatinya itu kasih akan ulama' kadar satu misqal zarah".

Bahawasanya setengah daripada manusia itu beberapa manusia masuk mereka itu akan neraka semata-mata"maka sembah mereka itu  "Ya Rasulullah, siapa mereka itu?" Baginda bersabda, " Mereka yang ada pada hatinya itu benci akan ulama' kadar satu misqal zarah".

Hasan AlBasri : " Tiada aku tahu sesuatu yg terlebih afdal daripada perang fi sabillillah melainkan bahawa adalah orang yg menuntut ilmu maka bahawasanya lebih afdal drpd perang fi sabillillah".

Demikianlah sebahagian daripada kelebihan-kelebihan ilmu yang amat banyak. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan orang yang menuntut akan ilmu. Lagi akan datang aku nyatakan kefardhuan menuntut ilmu.