Wednesday, January 19, 2011

Ilmu Warisan Ulama'

Bermula ilmu itu sifat. Sifat berhajat kepada sesuatu, maka wajib ia berdiri pada sesuatu yang lain iaitulah zat. Dikenalkan seseorang itu berani kerana ada sifat berani padanya, dikenalkan seseorang itu bijaksana kerana ada sifat bijak padanya, dan dikenalkan orang itu ulama' kerana ilmunya. Maka yang dikehendaki ilmu disini adalah ilmu agama. Sehebat mana atau sebijak mana seseorang itu didalam ilmu selain ilmu agama, tidak akan ia diberi gelaran ulama'.


Ulama itulah pewaris anbiya'. Iaitulah orang-orang yang mewarisi ilmu-ilmu para nabi samada ilmu zahir ataupun batin. Kerana merekalah sampainya apa yang disampaikan oleh Nabi besar kita saw. Tanpa mereka, tentu sekali kita kebuntuan arah hala tuju, manusia mana yang tidak sesat jalan tanpa ada petunjuk jalan.


Seperti "kacang lupakan kulit", begitulah kata orang2 tua dahulu apabila melupakan jasa seseorang. Ramainya manusia hari ini yang lupa asal usulnya kerana tertipu dengan pakaian-pakaian keduniaan, sibuk mengukur ketinggian dan kecantikan dirinya samaada pada pangkat, harta, jawatan, ataupun nama. Mereka itu melihat pada hasil yang dihasilkannya tetapi lupa bagaimana ia terhasil.

Jika bukan kerana ulama', tidak Islam kita hari ini, jika bukan kerana ulama', tidak kita kenal agama Islam pada hari ini, jika bukan kerana ulama', tidak kita hidup aman harmoni,  jika bukan kerana ulama', matilah kita dalam kekufuran, wal'iyazubillah.

Bagaimanakah adabnya kita kepada para alim ulama' yang berjasa yang tidak pernah meminta walau se sen dalam dakwah mereka itu?
Adakah hanya dengan hanya melupakan mereka itu dikira sebagai beradab?
Adakah hanya dengan kata-kata yang kesat kepada mereka itu dikira sebagai beradab?
Adakah dengan sangkaan-sangkaan yang buruk kpd mereka itu dikira sebagai beradab?
Atau adakah kerana ilmu yang ada pada kita pada hari ini datangnya dengan tanpa belajar? Seolah-olah hidup tidak bermula dengan jahil.


Maka hanya berapa ramaikah orang pada hari ini yang masih menyebut-nyebut sejarah ulama' atau pesanan-pesanan ulama' atau nasihat-nasihat ulama'? Sibuk dengan kata-kata orientalis, sibuk dengan kata-kata pemimpinnya, sibuk dengan kata-kata ahli falsafah, politik, dan sebagainya. Teramat menyanjung mereka yang tidak patut dijunjung ibarat kata "anak dirumah ditinggalkan, beruk di hutan disusui".

Seringkali perkataan menentang sekular didengari tetapi lupa seperti tidak sedarkan diri bahawa diri sendiri termakan penyakit sekular ibarat kata seperti meludah kelangit. 

Wallahu taala a'la waa'lam.

No comments: