Jamak ertinya himpun.
Nas kitab Bahrul Wafi Wan Nahris Sofiy karangan Allamah Syeikh Muhammad bin Ismail Daud Al-Fathani:
"Harus dijamakkan sembahyang pada safar yang harus qasar itu antara sembahyang zohor dan sembahyang asar dan antara sembahyang maghrib dan sembahyang isyak dengan jamak taqdim atau jamak takhir maka jamak taqdim itu ia sembahyangkan asar dalam waktu zohor dan sembahyangkan isyak dalam waktu maghrib dan jamak takhir itu ia sembahyangkan zohor dalam didalam waktu asar dan ia sembahyangkan maghrib dalam waktu isyak dan tiada dijamakkan subuh serta yang lainnya dan tiada dijamak serta maghrib.." Intaha.
"Dan disyaratkan bagi jamak taqdim itu empat syarat, maka syarat yang pertamanya tertib iaitu didahulukan sembahyang yang empunya waktu kerana sembahyang yang kedua itu mengikut bagi sembahyang yang pertama.. Dan syarat yang keduanya niat jamak didalam waktu sembahyang yang empunya waktu dan jika ada niat itu serta salamnya sekalipun memadalah.. Dan syarat yang ketiganya muwalat antara sembahyang yang pertama dan antara yang keduanya bahawa jangan ada perceraian yang panjang pada 'uruf iaitu kadar masa lulus sembahyang dua rakaat dengan sekurang-kurang mungkin.. Dan syarat yang keempatnya berkekalan safarnya hingga sampai kepada takbiratul ihram sembahyang yang kedua dan tiada disyaratkan berkekalan safarnya hingga sempurna sembahyang yang kedua.." Intaha.
"Dan disyaratkan bagi jamak takhir dua syarat jua, syarat yang pertama niat jamak didalam waktu yang pertama yakni niat jamak sebelum keluar waktu yang pertama.. Dan syarat yang keduanya berkekalan safarnya hingga sempurna kedua sembahyangnya.." Intaha.
Penjelasan :
1. Sembahyang yang boleh dijamakkan adalah sembahyang zohor dengan asar dan sembahyang maghrib dengan isyak. Tidak sah dijamakkan sembahyang zohor dengan maghrib atau dijamakkan sembahyang asar dengan isyak.
2. Tiada boleh dijamakkan sembahyang subuh dengan sembahyang yang lain, seperti dijamakkan sembahyang subuh dengan zohor, atau dengan asar, atau dengan maghrib, atau dengan isyak.
3. Jamak itu ada dua iaitu jamak taqdim dan jamak takhir.
Jamak taqdim : Menghimpunkan sembahyang yang kedua kedalam waktu yang pertama seperti sembahyang asar dihimpun kedalam waktu zohor.
Jamak takhir : Menghimpunkan sembahyang yang pertama kedalam waktu yang kedua seperti sembahyang zohor dihimpun kedalam waktu asar.
4. Ada 4 syarat bagi jamak taqdim :
1. Dilakukan kedua sembahyang itu secara tertib (mengikut turutan) iaitu mendahulukan sembahyang zohor daripada sembahyang asar, dan mendahulukan sembahyang maghrib daripada sembahyang isyak.
2. Meniatkan jamak taqdim didalam sembahyang yang pertama. Seperti apabila seseorang itu hendak jamak sembahyang zohor dan asar, hendaklah ia berniat jamak taqdim dalam sembahyang zohor. Jika dia meniatkan jamak taqdim pada rukun salam dalam sembahyang yang pertama sekalipun, memadalah.
3. Melakukan kedua-dua sembahyang yang dijamakkan itu dengan muwalat (berturutan) iaitu tidak lebih jarak antara dua sembahyang yang dijamakkan itu kadar masa sembahyang dua rakaat yang pendek. Seperti apabila seseorang itu hendak jamak sembahyang zohor dan asar, selepas daripada sembahyang zohor, hendaklah dia segerakan sembahyang asar. Jika dia berehat duduk selepas sembahyang zohor dalam jangka masa lebih daripada dua rakaat sembahyang pendek, maka tidak sah sembahyang jamaknya.
4. Kekal dalam musafir sehingga takbiratul ihram dalam sembahyang yang kedua. Seperti apabila seseorang itu hendak jamak sembahyang zohor dan asar, hendaklah dia pastikan bahawa kedua-dua sembahyangnya didalam musafir sekurang-kurangnya dia mendapat takbiratul ihram sembahyang asar masih dalam musafir. Masalah ini timbul apabila seseorang itu sembahyang dalam kenderaan seperti kapal. Jika sedang dia sembahyang, kemudian kapal sudah tiba dalam mukimnya sebelum dia sempat takbiratul ihram sembahyang asar, maka tiada sah jamaknya.
5. Ada 4 syarat bagi jamak takhir:
1. Meniatkan jamak takhir didalam waktu yang pertama. Seperti apabila seseorang itu hendak jamak takhir sembahyang zohor dan asar, hendaklah dia berniat jamak takhir dalam waktu zohor. Jika dia tidak berniat dalam waktu zohor, maka tidak sah jamaknya itu.
* Perbezaan sembahyang jamak taqdim dan jamak takhir iaitu, jamak taqdim diniatkan dalam sembahyang manakala jamak takhir diniatkan dalam waktu.
2. Kekal dalam musafir sehingga sempurna sembahyang yang kedua. Seperti apabila seseorang itu hendak jamak sembahyang zohor dan asar, hendaklah dia pastikan bahawa kedua-dua sembahyangnya sempurna didalam musafir. Masalah ini timbul apabila seseorang itu sembahyang dalam kenderaan seperti kapal. Jika sedang dia sembahyang, kemudian kapal sudah tiba dalam mukimnya sebelum dia sempat sempurna sembahyang asar, maka tiada sah jamaknya.
Perhatian :
Beri perhatian pada beberapa masalah yang di highlightkan kerana banyak orang yang mengambil remeh tentang masalah-masalah yang tersebut itu.
Sebelum melakukan sembahyang jamak, hendaklah kita telah sedia tahu tentang syarat-syarat sah bagi sembahyang jamak taqdim dan takhir. Kerana tidak tahu atau jahil tentang ilmu ini, boleh membawa kepada tidak sah sembahyang jamak yang kita lakukan. Apabila tidak sah sembahyang jamak, maka tidak sahlah dua sembahyang kita.
Eloklah bagi sesiapa yang masih belum mengetahui tentang syarat-syarat jamak taqdim dan takhir supaya tidak melakukan sembahyang jamak. Dan hanya sembahyang seperti biasa jua, ia juga memadai.
Wallahua’lam.
Rujukan :
1. Kitab Bahrul Wafi Wan Nahris Sofiy
2. Kitab Hidayatus Sibyan Fi Ma’rifatil Islam Wal Iman
3 comments:
time kasih atas perkngsian..
soalan: bila kita sudah smp ke destinasi tempat yg dituju dan kita hanya mahu tinggal 3 hari sehaja, bolehkah kita jamak?
brp harikah yg sebenarnya kita blh jamak?
time kasih atas perkngsian..
soalan: bila kita sudah smp ke destinasi tempat yg dituju dan kita hanya mahu tinggal 3 hari sehaja, bolehkah kita jamak?
brp harikah yg sebenarnya kita blh jamak?
sebenarnya yg bertanya lebih mengetahui, ana hanyalah masih menuntut ilmu.
jawapan : boleh jamak. 3 hari sebanyak2 hari yg boleh jamak, tidak termasuk hari pergi dan balik.
minta ustaz perbetulkan ya jika ada slh silap.
Post a Comment