Friday, August 26, 2011

Tempat dan Arah

Tempat dan arah adalah sebahagian daripada kejadian-kejadian (makhluk) Allah taala. Ia dijadikan bagi menempati makhluk-makhlukNya seperti manusia, jin, binatang, tumbuhan. Sekalian alam adalah diciptakan oleh Pencipta yang Maha Kuasa. Dan Ia (Allah) tidak Ia serupa dengan sesuatu yang selainNya dan tidak sesuatu yang selainNya serupa denganNya. 

Nas daripada kitab Durus Samin karangan Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani ra : 

“Dan barangsiapa yang menyabitkan bagi Allah jihah (arah) seperti dikata Allah pada langit tiada kufur tetapi haram atasnya. Dan demikian lagi, dikata Allah berjisim tetapi tiada seperti segala jisim. Dan tiada harus dikata Allah didalam alam atau diluar alam kerana memberi ibham dan jahat adab serta Allah taala walau sah maknanya sekalipun..”.

“..Mustahil Allah itu berjihah kerana jihah itu tiada ia melainkan jirim dan Allah mustahil daripada jirim atau ada ia bertempat kerana tempat itu baharu yakni mustahil baginya bertempat..”

1. Haram bahawa seseorang itu mengatakan “Allah itu berjisim tetapi tidak berjisim seperti makhluk” atau ia berkata “Allah itu bertangan tetapi tidak bertangan seperti makhluk” atau ia berkata “Allah itu duduk bersila tetapi tidak duduk bersila seperti makhluk”. Intaha

2. Tidak layak bagi Allah itu jihah yakni arah.

3. Tidak layak bagi Allah itu tempat.

4. Hanya arah dan tempat itu layak bagi sesuatu yang baharu yakni makhluk kerana arah dan tempat itu  baharu.

5. Adalah mustahil Yang Qadim (Tuhan) itu berhajat kepada yang baharu (Makhluk).  

Perhatian:

Telah zahir pada akhir zaman ini  beberapa golongan yang menyabitkan perkataan-perkataan  yang memberi ragu terhadap akidah umat Islam.
Oleh itu, berilah perhatian terhadap perkara-perkara ini.

Jangan terpengaruh dengan kedudukan dan pangkat dan kemasyhuran dan pengaruh dan sijil yang dimiliki oleh seseorang. Yang demikian bukanlah menjadi dalil bahawa seseorang itu pasti benar perkataannya dan iktiqadnya.

Berpegang kepada majoriti ulama’, itulah yang terlebih selamat.  

Kata Saidina Ali ibn Abi Talib karamallahu wajhah : “Lihat pada apa yang ia kata, jangan lihat pada siapa yang berkata”. 

Wallahua'alam.
Ini hanyalah daripada ilmu yang sedikit yang telah aku pelajari daripada masyaikhku. Mohon teguran jika ada salah silap.  

No comments: