Saturday, April 16, 2011

Sifat 20 dan ASWJ


Serba sedikit isi dalam pengajian sifat 20 yang telah menjadi akidah umat Islam sejak turun temurun dari zaman salafunassoleh. Mari sama-sama kita ambil pelajaran. 

Sifat Wajib Bagi Allah yang wajib atas tiap-tiap mukallaf mengetahui iaitu 20.

Sifat Mustahil Atas Allah yang wajib atas tiap-tiap mukallaf mengetahui iaitu 20.

Sifat Harus Bagi Allah yang wajib atas tiap-tiap mukallaf mengetahui iaitu 1.

Sifat Wajib Bagi Rasul yang wajib atas tiap-tiap mukallaf mengetahui iaitu 4.

Sifat Mustahil Atas Rasul yang wajib atas tiap-tiap mukallaf mengetahui iaitu 4.

Sifat Harus Bagi Rasul yang wajib atas tiap-tiap mukallaf mengetahui iaitu 1.

Maka hasillah daripada mengetahui segala sifat-sifat yang demikian iaitu 50 ( 20+20+1+4+4+1) serta mengiktikad akannya itu ialah iman.  

Wajib atas tiap-mukallaf itu mengiktikad akan aqidah yang 50 ini berserta dengan dalilnya.
Bagi mereka yang mengiktikad akan aqidah yang 50 ini tanpa dalil dinamakan mereka itu taqlid. Maka taqlid itu di atas khilaf ulama’, setengah ulama’ mengatakan fasiq dan setengah ulama’ mengatakan kafir. Wal’iyazubillah.

Iman inilah yang menjadi asas bagi tiap-tiap mukallaf iaitu tangga bagi mengesahkan ibadat.
Telah berkata Imam Ghazali r.a : “ Tidak sah ibadat seseorang melainkan setelah ia mengenal tuhannya”.

Inilah jalanan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang telah disusun oleh ulama’ iaitu Imam Abu Hasan Al-Asyaari  (Asyairah)  dan Imam Abu Mansur Al-Maturidi (Maturidiah). Dan jalanan akidah ini telah diikuti oleh majoriti ulama’-ulama’ dunia yang muktabar setelah zamannya.

Mudah-mudahan kita berada diatas jalanan akidah yang benar. Allah memberi taufik dan hidayah kepada siapa yang ia kehendaki.  

Wallahu taala a'la waa'lam.

5 comments:

Anonymous said...

salam mujahid,

ada persoalan di sini. Adakah sah ibadat kita jika terlupa akan sifat-sifat. Contoh ana beri satu situasi:

1) seorang makcik yang berada di pondok setelah menyedari atas kesilapan2 waktu muda beliau lantas menjangkau umur 60 hingga 70 tahun baru hendak belajar kenal Tuhan (belajar di sini bukan maksudnya sekadar hafal nama mcm ornag zaman sekarang, tetapi memahaminya dengan dalil)tetapi beliau terlupa dek keuzurannya.

Walhal dia sedang belajar dan telah belajar.Bagaimana tu?

-inniakhofullah-

Anonymous said...

ade typo di situ

*sifat-sifat Allah

-inniakhofullah

Abu Muhammad Al-Mujahid said...

Terdapat beberapa org yang dimaafkan yg disebutkan drpd guruku,atau didalam kitab disebut jahil yang ma'zur (jahil yang diuzurkan/dimaafkan) iaitu:

1. mereka yang jauh daripada seruan Islam, seperti mereka yang tinggal jauh daripada ulama' atau susah untuk mendapatkan ilmu seperti tinggal di kawasan2 pergunungan atau hutan2 yang dalam. Cth : org-org arab badwi pada zaman Rasullullah saw.

2. mereka yang baru memeluk Islam.

3. atau mereka yang baru lepas baligh dan tidak dididik oleh ibubapanya ilmu fardhu ain sebelum balighnya. Dimaafkan sekira-kira kemampuannya untuk memahami ilmu fardhu ain dalam tempoh tertentu.

Selain dari itu, hendaklah ia memohon keampunan daripada Allah di atas kejahilannya yang telah lalu dan bertaubat. Ibadat-ibadatnya yang fardhu hendaklah ia mengqada’kannya. Carilah ilmu dan belajar sehingga faham supaya boleh beriktiqad dengan iktiqad yang benar. Bagi orang-orang yang lemah daripada memahami sifat-sifat Allah berserta dalilnya setelah berusaha ia bersungguh-sungguh, maka dimaafkan kerana lemahnya itu. Masuk ia didalam golongan taqlid yang dimaafkan.

Bagi mereka yang tahu dan faham akan dalil-dalil sifat-sifat Allah itu ada dua :
1.Tahu dengan jalan ijmal : Mereka tahu dan faham akan dalil-dalil sifat sifat Allah tetapi lemah untuk menghuraikannya.
2.Tahu dengan jalan tafsil : Mereka tahu dan faham akan dalil-dalil sifat sifat Allah serta mampu menghuraikannya satu persatu.

Muhammad Afif al-Manjuni said...

"Maka sebahagian daripada perkara yang wajib bagi Tuhan kita yang Maha Besar dan Yang Maha Mulia, dua puluh sifat".

Abu Muhammad Al-Mujahid said...

Ya, sebahagian. Adapun, sifat-sifat kesempurnaan bagi Allah taala itu teramat banyak