Wednesday, January 19, 2011

Ilmu Warisan Ulama'

Bermula ilmu itu sifat. Sifat berhajat kepada sesuatu, maka wajib ia berdiri pada sesuatu yang lain iaitulah zat. Dikenalkan seseorang itu berani kerana ada sifat berani padanya, dikenalkan seseorang itu bijaksana kerana ada sifat bijak padanya, dan dikenalkan orang itu ulama' kerana ilmunya. Maka yang dikehendaki ilmu disini adalah ilmu agama. Sehebat mana atau sebijak mana seseorang itu didalam ilmu selain ilmu agama, tidak akan ia diberi gelaran ulama'.


Ulama itulah pewaris anbiya'. Iaitulah orang-orang yang mewarisi ilmu-ilmu para nabi samada ilmu zahir ataupun batin. Kerana merekalah sampainya apa yang disampaikan oleh Nabi besar kita saw. Tanpa mereka, tentu sekali kita kebuntuan arah hala tuju, manusia mana yang tidak sesat jalan tanpa ada petunjuk jalan.


Seperti "kacang lupakan kulit", begitulah kata orang2 tua dahulu apabila melupakan jasa seseorang. Ramainya manusia hari ini yang lupa asal usulnya kerana tertipu dengan pakaian-pakaian keduniaan, sibuk mengukur ketinggian dan kecantikan dirinya samaada pada pangkat, harta, jawatan, ataupun nama. Mereka itu melihat pada hasil yang dihasilkannya tetapi lupa bagaimana ia terhasil.

Jika bukan kerana ulama', tidak Islam kita hari ini, jika bukan kerana ulama', tidak kita kenal agama Islam pada hari ini, jika bukan kerana ulama', tidak kita hidup aman harmoni,  jika bukan kerana ulama', matilah kita dalam kekufuran, wal'iyazubillah.

Bagaimanakah adabnya kita kepada para alim ulama' yang berjasa yang tidak pernah meminta walau se sen dalam dakwah mereka itu?
Adakah hanya dengan hanya melupakan mereka itu dikira sebagai beradab?
Adakah hanya dengan kata-kata yang kesat kepada mereka itu dikira sebagai beradab?
Adakah dengan sangkaan-sangkaan yang buruk kpd mereka itu dikira sebagai beradab?
Atau adakah kerana ilmu yang ada pada kita pada hari ini datangnya dengan tanpa belajar? Seolah-olah hidup tidak bermula dengan jahil.


Maka hanya berapa ramaikah orang pada hari ini yang masih menyebut-nyebut sejarah ulama' atau pesanan-pesanan ulama' atau nasihat-nasihat ulama'? Sibuk dengan kata-kata orientalis, sibuk dengan kata-kata pemimpinnya, sibuk dengan kata-kata ahli falsafah, politik, dan sebagainya. Teramat menyanjung mereka yang tidak patut dijunjung ibarat kata "anak dirumah ditinggalkan, beruk di hutan disusui".

Seringkali perkataan menentang sekular didengari tetapi lupa seperti tidak sedarkan diri bahawa diri sendiri termakan penyakit sekular ibarat kata seperti meludah kelangit. 

Wallahu taala a'la waa'lam.

Monday, January 17, 2011

Kefardhuan Menuntut Ilmu

Setelah aku nyatakan beberapa kelebihan ilmu daripada kelebihan-kelebihan ilmu yang amat banyak, aku nyatakan serba sedikit disini kefarduan menuntut ilmu.


                                           


Sabda Rasulullah : "Menuntut ilmu itu wajib bagi tiap-tiap muslim" (Riwayat Ibn Majah)

Ilmu itu teramat banyak sama ada yang bangsa dunia atau bangsa akhirat. Manusia itu diciptakan Allah dan diperintahkan olehNya untuk beribadat kepadaNya. Ibadat adalah pengabdian kepada Allah. Manakala maksiat adalah kemurkaan daripada Allah.
Ibadat yang sah itu berhajat kepada kepada ilmu, maka wajib atas tiap-tiap mukallaf menuntut ilmu supaya dapat oleh mereka beribadat kepada Allah. Maka ilmu-ilmu yang fardhu ain itu adalah ilmu akidah, feqah, dan tasawuf.
Adapun ilmu seperti usul fiqh, tafsir, qiraat, taranum, engineering, arkitek dan lainnya adalah ilmu fardhu kifayah. Haram apabila seseorang itu meninggalkan mempelajari ilmu fardhu ain dengan mendahulukan ilmu fardhu kifayah.

Ramai manusia yang melihat bencana alam atau peperangan atau kemarau atau kemalangan itu sebagai satu bala' yang besar, tetapi lupa mereka itu akan bala' yang lebih besar daripada kesemua itu iaitu bala' meninggalkan mempelajari ilmu fardhu 'ain. Maka, sunat akan sebagai sunat haiah kita membaca doa qunut  pada tiap-tiap sembahyang fardhu kerana bala' yang sedang menimpa pada hari ini .

Sebahagian daripada tipudaya-tipudaya syaitan ke atas orang-orang yang beramal iaitu beramal ia tanpa mengetahui kaifiat-kaifiatnya (cara-caranya), beramal ia tanpa mengetahui perkara-perkara yang merosakkan amal ibadatnya dan gemar ia membanyakkan amalan sunat daripada amalan wajib dan memperbanyakkan amal solehnya ketika di khalayak ramai dan mengurangkan amal solehnya ketika seorang dirinya dan berkata-kata ia dalam hatinya menyangkakan bahawa ia telah benar hakikatnya ia salah . Wallahu taala a'la waa'lam.

Sunday, January 16, 2011

Kelebihan Ilmu

Ilmu itu cahaya. Tiada manusia yang hidup melainkan perlu kepada cahaya. Manusia itu dilebihkan atas makhluk-makhluk lain kerana ilmunya.

Disini aku nyatakan beberapa kelebihan ilmu supaya menjadi suka bagi orang  muslimin menuntut akan ilmu.


Riwayat Malik Ibn Dinar : " Barangsiapa yang menolong akan orang yang menuntut ilmu diberi akan dia oleh Allah taala suratnya dengan tangan kanannya dan barangsiapa kasih akan orang menuntut ilmu ssesungguhnya ia kasih akan anbiya' dan barangsiapa kasih akan anbiya' maka sesungguhnya ia serta anbiya' dan barangsiapa benci akan penuntut ilmu maka bahawasanya benci ia akan anbiya' dan balasannya adalah neraka jahanam"

Dan lagi sabda nabi saw : "Barangsiapa belajar akan satu bab daripada ilmu supaya diamalkan dengan dia dan mengajar akan dia orang lainya adalah terlebih baik baginya daripada lima ratus rakaat yang dirukuknya akan dia dan barangsiapa belajar satu bab daripada ilmu supaya diamalkan dengan dia dan mengajar akan dia orang lainya adalah terlebih baik baginya seribu rakaat yang dirukuknya".

Dan sabdanya lagi : "Bahawasanya setengah daripada manusia itu beberapa manusia masuk mereka itu akan syurga semata-mata" maka sembah mereka itu  "Ya Rasulullah, siapa mereka itu?" Baginda bersabda, " Mereka yang ada pada hatinya itu kasih akan ulama' kadar satu misqal zarah".

Bahawasanya setengah daripada manusia itu beberapa manusia masuk mereka itu akan neraka semata-mata"maka sembah mereka itu  "Ya Rasulullah, siapa mereka itu?" Baginda bersabda, " Mereka yang ada pada hatinya itu benci akan ulama' kadar satu misqal zarah".

Hasan AlBasri : " Tiada aku tahu sesuatu yg terlebih afdal daripada perang fi sabillillah melainkan bahawa adalah orang yg menuntut ilmu maka bahawasanya lebih afdal drpd perang fi sabillillah".

Demikianlah sebahagian daripada kelebihan-kelebihan ilmu yang amat banyak. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan orang yang menuntut akan ilmu. Lagi akan datang aku nyatakan kefardhuan menuntut ilmu.