Saturday, March 19, 2011

Sima' Pemalu Hati

video

                                             Qasidah Waktusyahr daripada Nurul Mustofa

Telah berkata Imam Ghazali : " .. Bermula lagu syair bernazam itu memberi bekas ia bagi kesukaan roh yakni hati.. " 


Telah mencari-cari oleh mereka itu pemuda pemudi pada ini zaman akan hiburan-hiburan Islam. Tetapi mereka tidak menjumpainya lalu telah mengambil oleh mereka itu (pemuda pemudi pada ini zaman) akan hiburan-hiburan daripada bukan Islam. Tanpa disedari, telah mengikut oleh mereka itu akan jejak langkah budaya bukan Islam melalui lagu-lagu itu.  Maka, hati mereka itu dikerasi dengan lagu-lagu tersebut.  Oleh kerana itu, terpancarlah sifat-sifat yang buruk pada kelakuan mereka itu daripada hati yang keras.

"Lembutkan hati-hati kalian dengan berzikir siang dan malam, senang maupun susah kerana dengan berzikir hati kalian akan menjadi tenang. " 
- Imam Habib Abdullah bin Alawi Al-Haddad-

Qasidah adalah pujian-pujian kepada Rasullullah saw. Ia adalah sebahagian daripada hiburan-hiburan didalam Islam supaya bertambah kecintaan kepada Rasulullah saw.  Telah berkata Imam Ghazali : " .. Bermula lagu syair bernazam itu memberi bekas ia bagi kesukaan roh yakni hati.. " 





Sunday, March 13, 2011

Ilmu atau Ijazah?

Ijazah adalah tanda kelulusan bagi seseorang yang tamat pengajiannya dalam sesebuah bidang. Persoalannya, adakah ijazah menjamin ketinggian ilmu seseorang? Mari baca sedikit perkataan ulama'.
             

Tulisan nota kaki buku “ Shahih Shifah Solah an-Nabi”  karangan Sayyid Hasan bin Ali As-Saqqaf menukilkan tulisan gurunya, Al-Muhaddith Sayyid Abdullah bin Shiddiq Al-Ghumari didalam kitabnya ArRadd Al-Muhkam al-Matin : 

Sekiranya kamu meyakini bahawa kertas ijazah yang kamu dapat boleh menjadikan kamu berada dalam kelompok para ulama’ dan boleh membawamu bertanggungjawab untuk menyampaikan ilmu, maka kamu telah salah dalam keyakinanmu itu, serta sangat jauh dari kebenaran.

Tidakkah kamu tahu bahawa kertas ijazah inilah yang kadang-kadang merosakkan ilmu, bahkan mematikannya serta menjadikan orang-orang yang jahil sebagai ulama’.

Dan musibah yang lebih besar ialah apabila orang awam menjadikan orang jahil ini sebagai tempat rujukan kepada mereka dalam masalah-masalah hukum agama, sedangkan dia sendiri adalah tidak mengerti hukum seperti orang awam juga, tidak melebihi mereka sedikitpun, Cuma yang bezanya dia memiliki ijazah.

Kerana seorang alim yang menjadi keutamaannya adalah ilmu. Dia tidak terpedaya dengan kertas atau beberapa lembaran ijazah. Seorang alim adalah selalu tekun menelaah kita-kitab dan selalu mengadakan pengkajian.

Ijazah (yang ada pada zaman sekarang) adalah sesuatu yang baru (kerana ia tidak wujud pada zaman ulama’ dahulu). Ia boleh menjadi suatu yang tercela dan membahayakan kerana ia menjadi sebab atau alat untuk penindasan ilmiah pada zaman sekarang ini. Ia juga menjadi sebab kebergantungan pembawanya kepada mencari kerja melalui helah keilmuan, sedangkan para ulama’ terdahulu, sebelum adanya ijazah, hidup sebagai usaha sendiri dan menyebarkan ilmu dengan ikhlas, maka fikirkanlah dengan mendalam..

Adalah ilmu pada masa dahulu selalu bertambah dan ulama’ selalu dalam kemuliaan dan mempunyai kedudukan. Kata-kata mereka didengar, arahan-arahan mereka ditaati, bukan hanya ditaati oleh orang awam bahkan raja-raja, khalifah, dan orang-orang yang berpangkat.. Wallahualam”  

Sebagai pesananku kepada kalian yang menuntuti ilmu agama : 

- Carilah ilmu agama dengan hati yang ikhlas. Ikutilah jalan-jalan ulama' terdahulu salafunassoleh dalam perjalanan mencari ilmu. Belajarlah ilmu daripada guru-guru yang beramal dengan ilmunya. Jangan engkau anggapkan bahawa engkau telah mempelajari ilmu agama sekiranya dahulu engkau belajar sedang hatimu tidak ikhlas, maka sekarang hendaklah engkau cari ilmu itu dengan hati yang bersih. 

- Berhati-hatilah dengan tipudaya ijazah yang ada pada hari ini, jangan jadikan ijazah itu sebagai ilmu pada diri engkau dan diri orang lain. Dengan makna, apabila engkau telah memperolehi ijazah, berlaku adillah pada dirimu dengan tahap keilmuanmu, jangan malu untuk berkata "tak tahu" pada perkara yang engkau tidak tahu. 
Juga pada gurumu, jangan engkau memilih gurumu kerana sijilnya (kelepasan universitinya, PHDnya, atau Masternya, atau belajar ditanah Arab). Tetapi pilihlah gurumu itu kerana ilmunya dan waraknya.

Wednesday, March 2, 2011

Sifat " teramat cinta "

Assalamualaikum warahmatullah..

Artikel ini adalah ringkas tetapi isinya padat, beri perhatian! bagi orang-orang yg berakal.

Sedikit lontaran idea atas dasar ilmu untuk membuang penyakit "teramat cinta" yang menjiwai diri. Terlebih awal memohon maaf kepada yang tersentuh hati membaca artikel ini tetapi hakikat kebenaran tetap wajib diterima.
Agak julung-julung kali sy menyentuh politik semasa, ini mungkin permulaan.

"Bukalah hati, lapangkan dada, cerahkan minda."

Dimana kebenaran?

Kenapa rakyat kita berparti khususnya aku tujukan kepada Melayu? Kerana wujud demokrasi.
Demokrasi adalah utk memilih pucuk pimpinan. Jadi, apakah yang menjadi landasan dalam memilih pemimpin? Tentu sekali rakyat mahukan pemimpin yang membawa kebenaran. Tetapi apa yang terjadi hari ini, sebahagian besar kita, melihat kebenaran berdasarkan parti.  Benarkah ini?

Memerdekakan hati


Mari tilik.
Apa itu kebenaran dan parti? Kebenaran adalah sifat. Parti juga sifat. Kedua-duanya bukan zat. Jadi bagaimana jika seseorang itu memilih sesuatu parti kerana kebenaran. Bolehkah kebenaran itu berdiri pada parti sedangkan kedua-duanya adalah sifat. Ini tidak sah (mustahil). Sifat tidak boleh berdiri pada sifat. Sifat mesti berdiri pada zat. Maka, telah tersalahlah orang-orang yang memilih sesebuah parti kerana kebenarannya.

Jadi, bagaimanakah penghitungannya?

Adalah kebenaran itu berdiri pada individu. Ini benar. Kebenaran itu sifat dan individu itu zat, jadi sifat berdiri di zat. Ini sah. Maka, hendaklah engkau yang hendakkan kebenaran memilih kebenaran yang terdapat pada individu, bukan kebenaran yang terdapat pada parti.

Apabila engkau faham ini masalah, maka keluarlah dan merdekalah hati engkau daripada sifat "taksub" kepada parti.
Lalu, apabila melihat engkau akan seseorang yang membawa kebenaran, maka engkau akan katakan "dia benar". Tanpa melihat kepada parti apakah ia hijau atau merah atau biru. Kerana telah engkau faham, kebenaran itu pada individu, bukan pada parti.

Ringkasan : 

Zat = Individu
Sifat = Kebenaran dan parti

1. Kaedah : Sifat berdiri pada zat adalah sah. Sifat berdiri pada sifat, tidak sah.
2. Kebenaran berdiri pada individu adalah sah.
3. Kebenaran berdiri pada parti tidak sah.

Wallahua'lam.

Artikel ini tidak berpihak atau menyokong mana-mana individu atau kumpulan.