Bismillah.. Walhamdulillah..
Sedikit masalah mengenai jamak dan qasar, aku tuliskan atas kertas kecil ini kerana ramai orang terkadang terlepas pandang pada masalah ini kerana mengambil ringan pada masalah agama. Mengambil perkataan yang keluar daripada lisan para masyaikh ku yang telah aku pelajari. Mudah-mudahan menjadi manfaat kepada orang ramai.
Masalah 1 :
Bagaimanakah keadaan seseorang yang bermastautin di Terengganu, kemudian ia bermukim di Negeri Sembilan kerana ada hal pekerjaan atau pembelajaran selama 4 tahun. Dalam masa itu, ia ingin pulang ke kampung halamannya di Terengganu selama 3 hari kerana menziarahi ibubapanya, kemudian ia pulang semula ke tempat pekerjaannya atau pembelajarannya di Negeri Sembilan selepas itu. Maka adakah dibolehkan baginya untuk sembahyang jamak dan qasar ketika ia di kampung halamannya (tempat mastautin)?
Jawapan :
Tidak dibolehkan baginya untuk sembahyang jamak qasar di kampung halamannya walaupun ia pulang hanya selama 3 hari kerana ia adalah tempat mastautinnya. Maka hanya dia dibolehkan jamak qasar ketika dalam perjalanannya pulang ke kampung halamannya jua. Apabila sudah ia memasuki mukim kampung halamannya, maka tidak sah baginya sembahyang jamak qasar. Hendaklah ia sembahyang dengan tamam iaitu sempurna.
Masalah 2:
Adakah boleh seseorang sembahyang jamak qasar pada ketika telah ia niatkan untuk bermukim di sesuatu tempat itu lebih daripada 3 hari seperti 5 hari atau 7 hari?
Jawapan :
Seseorang yang telah meniatkan untuk bermukim disesuatu tempat itu lebih daripada 3 hari, maka tidak sah baginya sembahyang jamak qasar apabila telah ia sampai di tempat itu kerana ia meniatkan untuk bermukim lebih daripada 3 hari. Hanya ia boleh jamak qasar dalam perjalanan sebelum sampai ke tempat yang diniatkan untuk mukim itu.
Adapun, bagi orang yang meniatkan untuk bermukim di suatu tempat selama 2 hari misalnya, maka dibolehkan baginya sembahyang jamak dan qasar. Kemudian jika terpaksa melanjutkan kepada 3 hari kerana masalah pekerjaan yang belum tamat, maka boleh ia sembahyang jamak dan qasar. Kemudian, jika terpaksa melanjutkan lagi kepada 4 hari kerana masalah pekerjaan yang belum tamat, maka boleh ia sembahyang jamak dan qasar. Sehinggalah 16 hari ia boleh dilanjutkan.
* Mukim : Tidak tinggal tetap.
Mastautin : Tinggal tetap.
Wallahua'lam.
p/s : Esok pagi sebelum subuh bertolak musafir ke Kuala Kangsar dan Cameron Highlands. Doakan keselamatan dan kemudahan dalam perjalananku wahai sahabatku. Semoga Allah permudahkan urusanku. (^_^)
No comments:
Post a Comment