Sunday, November 6, 2011

10 Zulhijjah 1432H - EidulAdha

6 November 2011M bersamaan 10 Zulhijjah 1432H. Tahukah kamu apakah keistimewaan pada tarikh ini? Yakni hari yang telah dikurniakan oleh Allah taala  bagi umat Muhammad saw untuk mengambil pengajaran daripada pengorbanan Nabi Ibrahim as. 





Tarikh ini sebagai peringatan kepada umat Islam tentang peristiwa yang berlaku kepada Nabi Ibrahim a.s.
Demikianlah serba ringkas kisahnya. 


Pada suatu hari Nabi Ibrahim as bermimpi, dalam mimpinya itu Allah menyuruh Nabi Ibrahim  as menyembelih anaknya yang bernama Ismail as. Selepas dari mendapat mimpi itu, Nabi Ibrahim as pun memberitahu isterinya yang bernama Siti Hajar.

Maka berbincanglah Nabi Ibrahim as, Siti Hajar dan Ismail as. Siti Hajar berkata, “Mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur saja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah dituruti.” Apabila mendengar kata-kata ibunya, Ismail as berkata kepada bapanya, “Ayahku, sekiranya ini merupakan wahyu dari Allah S.W.T., aku sedia merelakan diriku untuk disembelih.”

Setelah persetujuan dicapai, keesokan harinya Nabi Ibrahim as pun membawa puteranya Ismail untuk disembelih. Perkara ini telah sampai kepada pengetahuan orang ramai. Hal ini membuat orang ramai takut sehingga ada yang mengatakan, “Nampaknya Nabi Ibrahim as mungkin sudah gila hinggakan mahu menyembelih anaknya sendiri. Kalau kita biarkan perkara ini, nanti kitapun akan dibunuhnya.”

Walau apapun tuduhan orang terhadapnya, namun Nabi Ibrahim as tetap menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Allah S.W.T terhadapnya. Setelah Nabi Ibrahim as dan anaknya Ismail as sampai pada tempat yang dituju, berkatalah anaknya, “Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan menelungkup tapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat kepada leherku.”

Kemudian Nabi Ibrahim as pun melaksanakan perintah yang Allah S.W.T seperti yang diperintahkan dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama Allah lalu memancungkan pedangnya pada leher anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim. Sebagai seorang manusia biasa, Nabi Ibrahim pun menggeletar dan membuka penutup matanya.

Tetapi alangkah terperanjatlah apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah S.W.T, kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan amanat dari Allah S.W.T.

Berdasarkan kepada hadis (terjemahan) “Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Dan lagi, 

Berdasarkan sebuah hadis (terjemahan) yang telah diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Al-Hakim yang bermaksud: "Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai Allah daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih."

Selain itu, ia adalah hari yang dikurniakan oleh Allah taala bagi hambanya untuk bergembira. 


Berdasarkan kepada hadis (terjemahan) yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas r.a, yang bermaksud: "Rasulullah SAW datang ke Madinah, sedangkan mereka sedang sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah SAW bertanya: Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman Jahiliah: Kemudian Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha." (Diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai daripada Anas)

Maka bergembiralah olehmu hai orang-orang muslimin dan muslimat pada Hari Kebesaran yang telah Allah kurniakan bagi kamu yakni Hari Raya AidilAdha bertepatan 10 Zulhijjah 1432H.

p/s: Alhamdulillah, tahun ni dapat pengalaman baru, iaitu pengalaman menumbangkan kerbau, sungguh mencabar berbanding lembu sampai bengkak lenganku, menarik! (^_^).





2 comments:

jannah said...

salam aidil adha abu muhammad.

Abu Muhammad Al-Mujahid said...

waalaikumussalam aidil adha jannah heaven.