Sunday, November 27, 2011

Doa Awal dan Akhir Tahun : Satu Persolan

Soalan :

Saya terlihat suatu post pada wall seorang individu yang bernama Mohd Hairi Noichi. Saya rasakan beliau seorang tokoh wahabi kerana terdapat unsur-unsur wahabi pada status-status beliau.Yang terbaru adalah beliau menentang pembacaan doa awal dan akhir tahun. Dengan post beliau seperti ini:

DOA AWAL & AKHIR TAHUN: ADAKAH IA DIANJURKAN ALLAH DAN RASULNYA?

Bertalu-talu SMS dan panggilan yang saya terima yang semuanya bertanyakan soalan yang sama iaitu: Apakah amalan membaca doa awal dan akhir tahun itu sabit daripada Sunnah Nabi yang sahih? Maka saya menjawab bahawa:

Ia adalah antara kebatilan yang masyhur di kalangan umat Islam dan merupakan pendustaan kepada Allah dan Rasul-Nya. Antara bukti kebatilan doa awal dan akhir tahun ini - selain ia tidak memiliki sebarang sandaran dalil yang sahih daripada al-Qur'an, as-Sunnah Nabi s.a.w, amalan para Sahabat dan fatwa para imam mazhab yang empat - ialah, sesiapa yang membacanya maka dia akan terlepas daripada gangguan syaitan sepanjang tahun tersebut.

Kenyataan ini jelas bercanggah dengan hadis Nabi s.a.w yang menegaskan bahawa Syaitan akan SENTIASA menyertai manusia dalam setiap perkara yang mereka lakukan sebagaimana sabdanya:

إن الشيطان يحضر أحدكم عند كل شيء من شأنه

"Sesungguhnya Syaitan HADIR di sisi seseorang kamu pada SETIAP SESUATU YANG KAMU KERJAKAN...." - Shahih Muslim, no: 2033-4.

Sungguh mustahil apabila dikatakan bahawa dengan hanya membaca doa tersebut maka si pelakunya menjadi maksum dan bebas daripada gangguan dan hasutan Syaitan. Secara realitinya tidak sedikit jua para pengamal doa ini yang kita saksikan sering melakukan kemaksiatan, sekalipun merekalah insan yang paling bersemangat menyemarakkan amalan yang bid'ah tersebut.

Jika ada yang mengatakan perkara ini adalah baik, maka kami tegaskan bahawa kebaikan sesuatu dalam urusan agama itu hendaklah diukur dengan nas-nas syarak, bukannya dengan nafsu dan akal manusiawi semata. Sesiapa sahaja boleh mengatakan amalan itu dan ini baik, namun jika tiada nas berupa firman Allah sebagai Tuhan yang memiliki dan mensyariatkan agama ini dan Sunnah NabiNya yang paling pakar mengenai agamaaNya, ia tetap dianggap sebagai mungar dan tertolak di sisi agama.

Semoga bermanfaat. Sekian.

P/S: Sila sebarkan.

~ Cikgu Arie ~]

Jawapan :

Hairi Nonchie bukan seorang yang maksum, bahkan jika dia mengeluarkan fatwa maka fatwanya lebih dekat dengan kesesatan dari kebenaran kerana tida disiplin ilmu yang melayakkan dia mengeluarkan pendapat. Apatah lagi beliau bukanlah takhassus dalam pengajian Islam dan bukan belajar dengan berguru sebagaimana yang diajar RasuluLlah. Sekiranya hujjah yang digunakannya adalah, lihat apa yang dikata jangan melihat siapa yang berkata. Kita katakan, dalam urusan agama berkaitan aqidah, berkaitan hukum hakam. Wajib kita melihat siapa yang menyatakannya. Jika yang berkata itu anti hadith, orang yang jahil adakah kita tetap juga mengambil darinya ? Tentunya perkara ini membahayakan agama kita sendiri.

Perkataan orang yang jahil tidak boleh diambil sebagai dalil dan hujjah. Maka kerana itu Rasulullah melarang orang jahil memberi fatwa :

Dari AbduLLah ibn Amr radiyaLLahu ‘anhu bahawa RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud :

ALLah subhanahu wa ta’ala tidak akan mengangkat ilmu pengetahuan dengan cara mencabutnya dari hati ulama, tetapi dengan cara mematikan mereka, dan jika sudah tidak ada lagi seorang ulama yang masih hidup, maka manusia akan mengangkat pemimpin di kalangan orang-orang yang jahil (bodoh), jika (para pemimpin tersebut ditanya tentang kemusykilan agama) maka mereka akan berfatwa tanpa dasar ilmu, dengan itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Seterusnya, jika kita lihat mengapa Yang Dipertuan Agong, Perdana Menteri, Umat Islam di Malaysia berdoa pada peralihan akhir tahun dan awal tahun hijrah, namanya pun DOA awal tahun, sekiranya Allah memakbulkan doa itu maka selamatlah kita dari gangguan syaitan. Adakah beliau jahil dan tidak faham apa maksud doa ?

katanya lagi:

"...Sungguh mustahil apabila dikatakan bahawa dengan hanya membaca doa tersebut maka si pelakunya menjadi maksum dan bebas daripada gangguan dan hasutan Syaitan."

Jawapan :

Mustahil ke ALLAH boleh memaqbulkan doa itu jika di baca.?

Kalau tidak berdoa atau tidak dibaca sekalipun tidak mustahil Allah memelihara sesiapa YANG DIKEHENDAKINYA dari gangguan syaitan. Dan kenyataan yang beliau tulis itu memang jelas bercanggah dengan nas-nas dari al Quran dan Hadith dan lebih jauh dari itu sekali lagi kejahilannya dalam menanggapi nas menyebabkan fatwa yang ditulis dan disebarkannya itu sesat dan menyesatkan orang yang menerima dan menyebarkannya.

Hadith di ata itu merujuk kepada syaitan qarin. Manusia lahir bersama qarinnya, bahkan Rasulullah sallaLLahu 'alaih wasallam pun mempunyai qarinnya sendiri namun Allah telah menjadikan qarin Rasulullah sebagai Muslim, berbeza dengan kita. Jika ALLAH sudah memaqbulkan doa tentunya hadirnya syaitan itu tidak akan memberi bekas.

Sebab tu kita selalu ta'awuz meminta perlindungan dari ALLAH dan itu itu lah antara yg ada terkandung dalam doa awal tahun.

Terbaca di beberapa blog dan forum baru-baru ini, memandangkan hampirnya kita memasuki tahun baru Hijrah, berkemundang sekali lagi seruan bahawa bacaan Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun merupakan satu bid'ah yang jelas haram di sisi Islam. Benarkan apa yang dihebohkan ini? Kalau benar mengapa saban tahun setiap jabatan agama negeri tidak pernah menghalang sambutan ini? Adakah tok mufti dan semua ustaz yang berada di setiap jabatan agama ni bersekongkol dalam kesesatan? Sama-sama kita kaji..

Biasanya apabila kita tidak mengetahui asas bagi satu masalah, maka kita akan mudah membuat keputusan yang salah. Asas dan sebab bagi satu masalah merupakan kunci bagi kita untuk mendapatkan jawapan bagi masalah tersebut. Di sini kita perlu mengkaji dua masalah. Mengapa dibaca doa akhir dan awal tahun. Seterusnya mengapa pula satu golongan lagi cuba untuk mengharamkan perbuatan ini.

Asas pendapat pertama kita lihat dari sudut amalan para ulamak berkurun lamanya bukan sahaja di nusantara malahan di banyak lagi tempat di dunia, yang mengamalkan berdoa di akhir dan awal tahun. Apakah asas mereka? Jawapannya yang ringkas, bukankah kita semua mengetahui bahawa beredarnya bulan dan tahun ini merupakan tanda kekuasaan Allah? Maka tidak layakkah kita sebagai hamba yang lemah memuji Allah apabila kita memerhatikan kebesaranNya? Seterusnya, bukankah molek kalau kita akhiri akhir tahun kita dengan memohon ampun atas kesalahan kita sepanjang tahun lalu, dan seterusnya memulakan awal tahun baru, dengan berdoa kepada Allah agar tahun yang mendatang dipenuhi rahmah dan maghfirahNya? Doa itu senjata mukmin. Maka gunakanlah senjata ada sebaik mungkin.

Asas pendapat kedua. Bid'ah dholalah (atau kata mereka bid'ah secara mutlak) adalah mengadakan sesuatu yg baru yang tiada asasnya langsung dalam agama. Itu kata kita. Ada di kalangan mereka yang menyalah erti bahawa bid'ah adalah sesuatu urusan agama yang tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Namun sangkaan ini amat tersasar dari kebenaran berdasarkan terlalu banyak dalil menunjukkan keharusan perkara dalam agama yang tidak dilakukan oleh Rasulullah seperti menghimpunkan Al-Quran dan azan solat jumaat sebanyak dua kali yang dilakukan oleh Saiyidina Usman. Maka diistilahkan pula oleh Imam Syafie dan para mujtahidin yang lain perkara ini sebagai bid'ah hasanah. Malah diklasifikasikan pula oleh Imam Nawawi bid'ah kepada 5 hukum taklifi yang ada. Mereka kata klasifikasi ini klasifikasi dari sudut bahasa, namun jika kita kaji bid'ah dari segi bahasa bukanlah yang dimaksudkan oleh Imam Syafie dan yg lain, tetapi bid'ah dalam agama.

Apapun yang diistilahkan kita sepakat mengatakan bahawa perkara yang dibaharukan yang tiada asasnya langsung dalam agama hukumnya haram dan bid'ah yang dholalah. Nah, sekarang mereka membuat pula satu kaedah. Jika satu ibadat itu dilakukan pada satu waktu tertentu atau hari tertentu atau bilangan tertentu tanpa ada hadis yang warid dari Rasulullah s.a.w. maka ianya dikira sebagai bid'ah (baca bid'ah dholalah) dan haram. 2 asas inilah yang dipegang menjadikan bacaan doa akhir dan awal tahun sebagai haram.

Maka apa pula komentar bagi kedua-dua hujjah kedua-dua golongan ini ya?

Perbincangan bagi hujjah pendapat yang pertama. Dikatakan bahawa memuji Allah apabila memerhatikan kebesaran-Nya. Benar. Namun cara kita menunjukkan pujian dan bersyukur itu perlukan petunjuk dari Allah dan Rasul-Nya s.a.w. Bukannya mengikut fikiran kita semata-mata. Adakah berdoa tersebut cukup untuk menghapuskan segala dosa yang berlaku di sepanjang tahun. Kalau begitu mudahla, Buat dosa banyak-banyak. Akhir tahun doa jelah. Lagipun kalau doa ni pun da bid'ah dan berdosa, sebenarnya bukan hapuskan dosa tapi tambahkan dosa lagi.

Jawapan kepada perbincangan ini. Cara kita menunjukkan pujian dan bersyukur adalah diharuskan selagi mana tidak melanggar syara'. Sebanyak mana pun kita bersyukur takkan cukup dengan nikmat yang Allah beri. Lagipun kita bukan bersyukur mengikut fikiran kita semata-mata, tetapi berdasarkan kepada petunjuk Allah dan Rasul-Nya jugak kan. Bukankah berdoa ini satu cara yang ditunjukkan dan diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Bukannya kita sambut dgn konsert atau pertunjukkan bunga api.

Berkenaan doa boleh menghapuskan dosa atau tidak tersebut, urusan tersebut diserahkan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah yang memerintah kita supaya berdoa dan Dialah yang memakbulkan doa dan mengampunkan dosa. Ini merupakan usaha kita yg diperintah oleh-Nya. Hujjah buat dosa banyak2 kemudian berdoa adalah hujah yang dangkal, kerana tiada siapa yang mengetahui selama mana hayatnya. Juga ia seolah-olah mempermain-mainkan mereka yang berdoa setiap hari agar diampunkan oleh Allah. Mengapa tidak tunggu tua sahaja baru berdoa. waktu muda buat dosalah banyak2. Hujah yang amat cetek dan tidak perlu dihiraukan, tetapi perlu dijawab kerana banyak antara mereka yang cetek ilmu, tapi mengaku berilmu. Semua kita sepakat bahawa melakukan perkara yang dilarang oleh syarak secara pasti dan mesti adalah haram. Jadi mengapa perlu dipersoalkan perkara begini. Tetapi kita sebagai manusia yang tidak maksum pasti tidak akan lari dari kesalahan. Jadi kita perlu dari masa ke semasa meminta pengampunan dari Allah s.w.t. Niat melakukan dosa dengan harapan berdoa di waktu lain agar diampunkan adalah niat yang jelas salah dan terlarang.

Perbincangan hujjah pendapat yang kedua.

Apakah asas-asas yang diiktiraf dalam menentukan hukum dan adakah doa ini tiada asasnya langsung dalam agama? Para ulamak telah berselisih dalam perkara ini, namun mereka sepakat menentukan bahawa Al-Quran, Assunnah, Ijma' dan Qias secara umumnya adalah asas dalam menentukan hukum. (kecuali beberapa ulamak zahiri dan syiah yang menolak terus qias). Mereka pula hanya menganggap Al-Quran dan Assunnah dan ijtihad para mujtahidin berdasarkan dua sumber ini merupakan asas. Walaubagaimanapun kedua-dua masalah ini tidakla jauh bezanya jika difahami dengan betul. Jadi persoalan sekarang adakah di sana asas bagi doa ini dibaca?

Secara ringkasnya asas bagi berdoa secara umumnya adalah ayat-ayat Alquran dan Assunnah yang terlalu banyak menerangkan perintah berdoa tak kira masa dan tempat. Perintah2 ini tidak boleh kita khususkan kepada doa yang warid dalam alquran dan sunnah semata-mata, kerana ia dikira sebagai mengkhususkan sesuatu yg umum tanpa pengkhususnya. Selain itu warid dari Hadis2 dan asar para solihin keharusan berdoa selain dari yg warid mengikut keperluan kita asalkan tidak bercanggah dengan syarak.

Asas seterusnya dalam berdoa ini adalah berdasarkan maslahah (yang juga sumber perundangan hukum islam). Maslahah yang rajihah (yang boleh diguna pakai) dalam perkara ini ditentukan oleh para ulamak terdahulu bukan menurut pemikiran kita semata. Maslahah ini lebih jelas di zaman kita yang mana ramai di kalangan masyarakat kita sudah jauh dari ajaran Islam dan tidak reti berdoa lagi. Malah di tahun baru ini pun mereka tanpa segan silu membuat kemaksiatan. Bukankah molek jika kita menyeru mereka berdoa di waktu begini?

Jadi apabila ada asas-asas yang disebutkan maka kita tidak boleh menyebut amalan berdoa ini sebagai satu perkara bid'ah yang sesat. Malah boleh kita masukkannya di dalam bid'ah hasanah yang disebutkan oleh Imam Syafie.

Mereka juga menyatakan bahawa sesutu ibadat seperti zikir dan doa itu perlu menyamai Rasulullah dari sudut bilangan, masa, hari dan tempat. Sesuatu yang bercanggah dengan salah satu darinya adalah haram. Kita pula menjawab, di manakah dalil kepada penyataan ini? Ulamak terdahulu tidak pernah membuat kaedah sebegini. kaedah yang ada adalah, ibadat tidak menyalahi dari apa yang Rasulullah tunjukkan. Jangan Rasulullah bersolat subuh 2 rakaat kita bersolat 3 rakaat, kerana nak pahala lebih. Itu yang salah. Adapun berdoa dan berzikir di waktu yang tidak warid Rasulullah berzikir pada waktu tersebut adalah tidak diharamkan. Kerana Rasulullah sendiri sentiasa berzikir dan berdoa. Selain itu perintah berzikir berdoa tidak pernah mengkhususkan masa dan tempat. Tiada salahnya jika kita hanya mengaji Al-Quran selepas maghrib setiap hari dan memerintahkan pula anak-anak kita berbuat sedemikian, walaupun tidak warid dalam hadis Rasulullah ada mengkhusukan begitu. Itu kita sepakat bukan. Jadi mengapa kita mengkhususkan pula sebelum maghrib akhir zulhijjah untuk berdoa dikira sebagai sesuatu perbuatan yang haram?

Hujjah mereka seterusnya adalah kebaikan sesuatu perkara adalah berdasarkan al-Quran dan As-sunnah. Maka kita katakan bahawa kebaikan berdoa ini juga adalah berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah yang menyuruh kita berdoa tanpa mengira waktu dan tidak pernah pula melarang kita berdoa di waktu2 tertentu. Maka kita simpulkan bahawa berdoa awal dan akhir tahun ini merupakan perkara yang baik menurut syara'. Bid'ah mustahabbah kata Imam Nawawi.

Kesimpulan:

Doa di awal dan akhir tahun merupakan sesuatu perkara yang baik dan harus dilakukan oleh setiap lapisan masyarakat, namun ia bukanlah perkara yang wajib. Anda hendak berdoa, berdoalah di setiap waktu dan ketika. Setiap waktu dan ketika itu termasuk juga padanya doa di awal dan akhir tahun. Berdoalah semoga dosa kita di tahun yg lalu diampunkan dan amalan kita diterima. Jua berdoalah moga di tahun baru ini kita dibantu melawan syaitan, nafsu yang menyeru kejahatan serta dibantu melakukan amal ibadat sebanyak mungkin.

Wallahu A'lam

Wasallallahu 'Ala Saiyidina Muhammad Wa'ala Alihi Wasohbihi Ajma'in, Walhamdulillahi Rabbil 'Alamin

Sumber :

1. http://aljoofre.blogdrive.com/archive/10.html

2. http://aljoofre.blogdrive.com/archive/11.html

Monday, November 21, 2011

Inai

Sedikit catitan ringkas mengenai pemakaian inai oleh lelaki dan perempuan.
  
                             
Bagi lelaki
Adalah haram memakai inai bagi laki-laki melainkan kerana darurat seperti perubatan.

Bagi perempuan 
Yang belum bernikah : Adalah haram memakainya melainkan kerana darurat seperti perubatan.
Yang sudah bernikah : Adalah sunat memakainya dengan reda suami. Tetapi haram memakainya kerana selain daripada suami.

Tersebut didalam kitab Siratul Mustaqim oleh Syeikh Nuruddin Ar-Raniri r.a. : "Dan sunat bagi perempuan yang bersuami memakai inai pada kedua tangannya dan kedua kakinya jika dengan reda suaminya dan jikalau tiada dengan reda maka iaitu haram. Dan demikian lagi, haram memakai inai atas laki-laki melainkan kerana darurat..Syahdan (Perhatian), haram atas perempuan yang tiada suami mencelup rambutnya dengan warna hitam dan memakai inai dan menghiasi dirinya dan memerahkan pipinya dan diharuskan segala yang tersebut itu bagi perempuan yang bersuami jika dengan reda suaminya.."

Wallahualam.
Ini hanyalah daripada ilmu yang sedikit yang telah aku pelajari daripada masyaikhku. Mohon teguran jika ada salah silap.

Rujukan :
1. Kitab Siratul Mustaqim
2. Kitab Sabilal Muhtadin
3. Kitab Kifayatul Muhtadi

p/s : Hari Sabtu 26/11 kian menjelang, Hari Lahirku tahun ini bersamaan dengan Sambutan Awal Muharam. Namun, apakah persediaanku menyambut Tahun Baru Hijriah dan Tahun Baru Diriku? (^_^)

Wednesday, November 9, 2011

Masalah Jamak Qasar

Bismillah.. Walhamdulillah..

Sedikit masalah mengenai jamak dan qasar, aku tuliskan atas kertas kecil ini kerana ramai orang terkadang terlepas pandang pada masalah ini kerana mengambil ringan pada masalah agama. Mengambil perkataan yang keluar daripada lisan para masyaikh ku yang telah aku pelajari. Mudah-mudahan menjadi manfaat kepada orang ramai.

Masalah 1 :
Bagaimanakah keadaan seseorang yang bermastautin di Terengganu, kemudian ia bermukim di Negeri Sembilan kerana ada hal pekerjaan atau pembelajaran selama 4 tahun. Dalam masa itu, ia ingin pulang ke kampung halamannya di Terengganu selama 3 hari kerana menziarahi ibubapanya, kemudian ia pulang semula ke tempat pekerjaannya atau pembelajarannya di Negeri Sembilan selepas itu. Maka adakah dibolehkan baginya untuk sembahyang jamak dan qasar ketika ia di kampung halamannya (tempat mastautin)?

Jawapan :
Tidak dibolehkan baginya untuk sembahyang jamak qasar di kampung halamannya walaupun ia pulang hanya selama 3 hari kerana ia adalah tempat mastautinnya. Maka hanya dia dibolehkan jamak qasar ketika dalam perjalanannya pulang ke kampung halamannya jua. Apabila sudah ia memasuki mukim kampung halamannya, maka tidak sah baginya sembahyang jamak qasar. Hendaklah ia sembahyang dengan tamam iaitu sempurna.

Masalah 2:
Adakah boleh seseorang sembahyang jamak qasar pada ketika telah ia niatkan untuk bermukim di sesuatu tempat itu lebih daripada 3 hari seperti 5 hari atau 7 hari?

Jawapan :
Seseorang yang telah meniatkan untuk bermukim disesuatu tempat itu lebih daripada 3 hari, maka tidak sah baginya sembahyang jamak qasar apabila telah ia sampai di tempat itu kerana ia meniatkan untuk bermukim lebih daripada 3 hari.  Hanya ia boleh jamak qasar dalam perjalanan sebelum sampai ke tempat yang diniatkan untuk mukim itu.

Adapun, bagi orang yang meniatkan untuk bermukim di suatu tempat selama 2 hari misalnya, maka dibolehkan baginya sembahyang jamak dan qasar. Kemudian jika terpaksa melanjutkan kepada 3 hari kerana masalah pekerjaan yang belum tamat, maka boleh ia sembahyang jamak dan qasar. Kemudian, jika terpaksa melanjutkan lagi kepada 4 hari kerana masalah pekerjaan yang belum tamat, maka boleh ia sembahyang jamak dan qasar. Sehinggalah 16 hari ia boleh dilanjutkan.

* Mukim : Tidak tinggal tetap.
   Mastautin : Tinggal tetap.

Wallahua'lam.

p/s : Esok pagi sebelum subuh bertolak musafir ke Kuala Kangsar dan Cameron Highlands. Doakan keselamatan dan kemudahan dalam perjalananku wahai sahabatku. Semoga Allah permudahkan urusanku. (^_^)

Sunday, November 6, 2011

10 Zulhijjah 1432H - EidulAdha

6 November 2011M bersamaan 10 Zulhijjah 1432H. Tahukah kamu apakah keistimewaan pada tarikh ini? Yakni hari yang telah dikurniakan oleh Allah taala  bagi umat Muhammad saw untuk mengambil pengajaran daripada pengorbanan Nabi Ibrahim as. 





Tarikh ini sebagai peringatan kepada umat Islam tentang peristiwa yang berlaku kepada Nabi Ibrahim a.s.
Demikianlah serba ringkas kisahnya. 


Pada suatu hari Nabi Ibrahim as bermimpi, dalam mimpinya itu Allah menyuruh Nabi Ibrahim  as menyembelih anaknya yang bernama Ismail as. Selepas dari mendapat mimpi itu, Nabi Ibrahim as pun memberitahu isterinya yang bernama Siti Hajar.

Maka berbincanglah Nabi Ibrahim as, Siti Hajar dan Ismail as. Siti Hajar berkata, “Mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur saja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah dituruti.” Apabila mendengar kata-kata ibunya, Ismail as berkata kepada bapanya, “Ayahku, sekiranya ini merupakan wahyu dari Allah S.W.T., aku sedia merelakan diriku untuk disembelih.”

Setelah persetujuan dicapai, keesokan harinya Nabi Ibrahim as pun membawa puteranya Ismail untuk disembelih. Perkara ini telah sampai kepada pengetahuan orang ramai. Hal ini membuat orang ramai takut sehingga ada yang mengatakan, “Nampaknya Nabi Ibrahim as mungkin sudah gila hinggakan mahu menyembelih anaknya sendiri. Kalau kita biarkan perkara ini, nanti kitapun akan dibunuhnya.”

Walau apapun tuduhan orang terhadapnya, namun Nabi Ibrahim as tetap menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Allah S.W.T terhadapnya. Setelah Nabi Ibrahim as dan anaknya Ismail as sampai pada tempat yang dituju, berkatalah anaknya, “Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan menelungkup tapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat kepada leherku.”

Kemudian Nabi Ibrahim as pun melaksanakan perintah yang Allah S.W.T seperti yang diperintahkan dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama Allah lalu memancungkan pedangnya pada leher anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim. Sebagai seorang manusia biasa, Nabi Ibrahim pun menggeletar dan membuka penutup matanya.

Tetapi alangkah terperanjatlah apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah S.W.T, kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan amanat dari Allah S.W.T.

Berdasarkan kepada hadis (terjemahan) “Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Dan lagi, 

Berdasarkan sebuah hadis (terjemahan) yang telah diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Al-Hakim yang bermaksud: "Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai Allah daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih."

Selain itu, ia adalah hari yang dikurniakan oleh Allah taala bagi hambanya untuk bergembira. 


Berdasarkan kepada hadis (terjemahan) yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas r.a, yang bermaksud: "Rasulullah SAW datang ke Madinah, sedangkan mereka sedang sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah SAW bertanya: Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman Jahiliah: Kemudian Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha." (Diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai daripada Anas)

Maka bergembiralah olehmu hai orang-orang muslimin dan muslimat pada Hari Kebesaran yang telah Allah kurniakan bagi kamu yakni Hari Raya AidilAdha bertepatan 10 Zulhijjah 1432H.

p/s: Alhamdulillah, tahun ni dapat pengalaman baru, iaitu pengalaman menumbangkan kerbau, sungguh mencabar berbanding lembu sampai bengkak lenganku, menarik! (^_^).