Saturday, April 16, 2011

Sifat 20 dan ASWJ


Serba sedikit isi dalam pengajian sifat 20 yang telah menjadi akidah umat Islam sejak turun temurun dari zaman salafunassoleh. Mari sama-sama kita ambil pelajaran. 

Sifat Wajib Bagi Allah yang wajib atas tiap-tiap mukallaf mengetahui iaitu 20.

Sifat Mustahil Atas Allah yang wajib atas tiap-tiap mukallaf mengetahui iaitu 20.

Sifat Harus Bagi Allah yang wajib atas tiap-tiap mukallaf mengetahui iaitu 1.

Sifat Wajib Bagi Rasul yang wajib atas tiap-tiap mukallaf mengetahui iaitu 4.

Sifat Mustahil Atas Rasul yang wajib atas tiap-tiap mukallaf mengetahui iaitu 4.

Sifat Harus Bagi Rasul yang wajib atas tiap-tiap mukallaf mengetahui iaitu 1.

Maka hasillah daripada mengetahui segala sifat-sifat yang demikian iaitu 50 ( 20+20+1+4+4+1) serta mengiktikad akannya itu ialah iman.  

Wajib atas tiap-mukallaf itu mengiktikad akan aqidah yang 50 ini berserta dengan dalilnya.
Bagi mereka yang mengiktikad akan aqidah yang 50 ini tanpa dalil dinamakan mereka itu taqlid. Maka taqlid itu di atas khilaf ulama’, setengah ulama’ mengatakan fasiq dan setengah ulama’ mengatakan kafir. Wal’iyazubillah.

Iman inilah yang menjadi asas bagi tiap-tiap mukallaf iaitu tangga bagi mengesahkan ibadat.
Telah berkata Imam Ghazali r.a : “ Tidak sah ibadat seseorang melainkan setelah ia mengenal tuhannya”.

Inilah jalanan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang telah disusun oleh ulama’ iaitu Imam Abu Hasan Al-Asyaari  (Asyairah)  dan Imam Abu Mansur Al-Maturidi (Maturidiah). Dan jalanan akidah ini telah diikuti oleh majoriti ulama’-ulama’ dunia yang muktabar setelah zamannya.

Mudah-mudahan kita berada diatas jalanan akidah yang benar. Allah memberi taufik dan hidayah kepada siapa yang ia kehendaki.  

Wallahu taala a'la waa'lam.

Monday, April 4, 2011

Mandi Hadas

Mandi hadas adalah sebahagian daripada kewajipan atas seseorang mukallaf samaada lelaki atau perempuan yang telah baligh untuk menunaikannya. Ia dilakukan dengan meratakan air pada keseluruhan badan dengan disertakan dengan niat. Ia merupakan salah satu syarat bagi mengesahkan ibadat sembahyang.

Rukun mandi hadas ada dua :
1. Niat iaitu " sahaja aku mengangkat hadas"
2. Meratakan air keseluruh badan

Sebab bagi wajib mandi itu ada 5 :
1. Sebab maut
2. Nifas
3. Haid
4. Wiladah atau mani
5. Janabah

Penulis menulis bab ini adalah untuk menyentuh masalah yang timbul ketika mandi hadas yang selalu dilalaikan oleh orang ramai, mungkin kerana kejahilan ilmu atau kurang prihatin dalam ibadat.

Masalah 1 :

Hendaklah ketika mula mandi hadas, diniatkan mandi hadas itu ketika mana air sampai pada anggota badan.
Wajib diniatkan dalam hati  "sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah taala" hendaklah disertakan ketika air sampai pada anggota badan. Jika tidak, maka niat tidak sah. Adapun lafaz niat "sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah taala" sebelum mula mandi hadas adalah sunat.

Masalah 2 :

Pada tubuh badan manusia terdapat beberapa tempat yang tidak boleh sampai air padanya melainkan wajib mencangkung. Bagi lelaki terdapat 1 tempat iaitu dubur dan bagi perempuan terdapat 2 tempat iaitu faraj (zahir faraj) dan dubur. Penting : Wajib mencangkung ketika mandi hadas supaya sampai air pada bahagian disebutkan tadi  (yang tidak boleh sampai air padanya melainkan dengan mencangkung). Tidak sah mandi hadas melainkan mesti mencangkung.


Wallahua'lam.
Ini hanyalah daripada ilmu yang sedikit yang telah aku pelajari daripada masyaikhku. Mohon teguran jika ada salah silap.

Rujukan : 1. Kitab siratul mustaqim bab pada menyatakan segala yang mewajibkan mandi

Sunday, April 3, 2011

Bulu Kucing adalah Najis?


Soalan1 : Apakah bulu kucing adalah najis?

Jawapan : Disini nasnya, aku petik daripada kitab hidayatus sibyan (mazhab syafie) pada fasal menyatakan ain najis dan cara menghilangkannya.

“Bermula  sekalian binatang suci sekaliannya pada ketika hidupnya melainkan anjing dan babi. Bermula segala juzu’ bangkai iaitu najis sekaliannya melainkan bangkai manusia, ikan, dan belalang. Dan bermula juzu’ yang bercerai daripada binatang yang hidup iaitu seperti bangkainya pada hukum najisnya dan sucinya melainkan bulu binatang yang halal dimakan akan dia iaitu suci.”

Hasillah daripada ayat diatas, bulu kucing adalah bukan najis ketika ia masih belum tertanggal daripada tubuhnya. Tetapi adalah bulunya itu najis setelah tertanggal daripada tubuhnya samaada ketika hidupnya atau matinya kerana mengambil hukum daripada hukum selepas matinya (bangkai kucing adalah najis).

Ringkasan

Bulu kucing yang belum tertanggal daripada badannya = tidak najis
Bulu kucing yang sudah tertanggal daripada badannya = najis

Soalan2 : Jadi bagaimanakah hukumnya sembahyang kita jika ia melekat pada sejadah yang diguna untuk sembahyang?

Jawapan : Bulu kucing yang melekat pada sejadah, ada huraian padanya. Sah sembahyang kita jika bulu kucing itu melekat pada sejadah yang bukan daripada tempat sembahyang. Tidak sah sembahyang jika bulu kucing melekat pada sejadah yang adalah tempat sembahyang.

Tempat sembahyang adalah tempat atau ruang yang kita gunakan untuk sembahyang, iaitu tempat yang ditindih oleh tubuh badan kita. Bukanlah keseluruhan sejadah itu tempat sembahyang.

Masalah

Bagi orang-orang yang membela kucingnya didalam rumah. Seeloknya hindarkan kucing daripada bermain-main ditempat sembahyang. Sebelum sembahyang, pastikan tiada bulu kucing yang melekat pada pakaian sembahyang dan tempat sembahyang kerana mungkin dalam perjalanan daripada tempat wuduk ke tempat sembahyang kita terpijak bulu kucing. Mudah-mudahan sembahyang kita diterima oleh Allah swt.

Wallahua’lam.
Ini hanyalah daripada ilmu yang sedikit yang telah aku pelajari daripada masyaikhku. Mohon teguran jika ada salah silap.