Sunday, January 29, 2012

Bulan Kelahiran Insan Termulia

Bismillah.. Walhamdulilah..
Selawat dan salam ke atas junjungan Sayyidina Muhammad saw, insan terpilih, kekasih Tuhan sekalian alam serta ke atas para ahli keluarganya dan para sahabatnya yang diredhai Allah.

Sedar atau tidak kita telah pun memasuki bulan  kelahiran Rasulullah saw yakni bulan Rabiulawal, bulan yang dipilih oleh Allah lahirnya seorang insan yang termulia daripada segala makhluk samaada yang di langit atau di bumi.

Hari ini 5 Rabiulawal 1433H bersamaan 29 Januari 2012M, lima hari kita telah memasuki bulan yang mulia ini, maka berapa banyak kah selawat dan salam yang telah kita ucapkan kepada baginda Rasulullah saw.

Alangkah indahnya jika dibacakan Maulid Nabi pada bulan ini iaitu kisah detik-detik kelahiran Rasulullah saw serta dakwah dan akhlak baginda saw pada bulan yang mulia ini agar ia menjadi suatu teladan kepada kita tentang akhlak mulia yang diajarkan oleh baginda saw disamping kita dapat menambahkan cinta dan kasih sayang kepada junjungan Sayyidina Muhammad saw dengan disebut-sebut nama dan kisah insan yang kita cintai.

Disebutkan didalam sebuah hadis bahawa seseorang itu sentiasa mengulang-ulang akan nama orang ia kasihi dan cintai. Maka tanda zahir seseorang yang kasih dan cinta kepada Rasulullah saw itu adalah dengan mengulang-ulang menyebut nama dan kisah baginda saw.

Mudah-mudahan dengan sifat kasih dan cintanya kepada insan pemberi syafaat di akhirat kelak ini, kita akan ditempatkan bersamanya di akhirat kelak. Amin Ya Rabb..

Sabda Rasulullah saw : "Seseorang itu bersama dengan siapa yang ia kasih". Kata Anas bin Malik ra apabila Rasulullah saw membacakan hadis ini kepada para sahabat : " Tidaklah aku melihat wajah yang lebih gembira daripada hari ini pada wajah para sahabat melainkan setelah mendengar hadis ini".

Alhamdulillah. Baru-baru ini hadir ke majlis Maulidurrasul di Darul Islah, Jakarta.
Sambutan disana jauh lebih meriah daripada sambutan di Malaysia kira-kira 10 ribu orang yang hadir. Subhanallah..


                          Ketika majlis pembukaan berlangsung, bacaan Yaasin dan Ratib Al-Haddad


                              Mengiringi tuan guru dijemput dari rumah ke rumah sebelum majlis bermula



                                              Melihat kepulangan para ulama' keluar dari majlis

Ketika mana Sayyidina Rasullulah saw di dalam kandungan Sayyidatina Aminah, maka telah berkata lah sekalian binatang dibumi kepada ahli Mekah dengan bahasa Arab yang fasih, " Hai sekalian bangsa Arab Quraisy, demi Tuhan Kaabah pada hari ini dikandungkan Nabi akhir zaman pelita bagi orang di dunia, telah beruntunglah orang yang percaya kepadanya dan mengikut syariatnya dan binasalah orang yang tiada percaya akan dia".

Dan adalah sebelum itu, tumbuh-tumbuhan, pokok-pokok dan buah-buahan di negeri Mekah sebelumnya kering kontang, apabila Sayyidina Rasullulah saw di dalam kandungan,  maka turunlah hujan dan hiduplah segala pohonan dan tumbuhan dengan subur menghijau serta buah-buahan. Ini adalah daripada berkahnya Rasulullah saw.    

Dan tidaklah diketahui oleh  Sayyidatina Aminah bahawa ia sedang mengandung kerana tidak merasa sakit melainkan telah ia bermimpi datang seseorang lalu bertanya kepadanya, "Apakah engkau tahu bahawa engkau sedang mengandung?". Maka dikatanya Sayyidatina Aminah, "Tidak." Maka berkata orang itu, "Telah engkau mengandungkan junjungan yang mulia daripada sekalian makhluk dan bahawa ia pesuruh Tuhan Rabbul 'Alamin, maka apabila engkau melahirkan ia, namakan lah dengan Muhammad dengan perintah Allah taala.

Juga telah berpesan beberapa orang Nabi didalam mimpinya Sayyidatina Aminah pada setiap bulan daripada bulan Rejab sebelum ia melahirkan utusan Allah itu dengan diberinya nama Muhammad.

Allahumma Solli Wasallim Wa Barik 'Alaihi Wa 'Ala Alih..

Carilah dan amatilah majlis-majilis Maulidurrasul (zikir dan selawat) sempena bulan kelahiran insan termulia ini.
Jadual tentang majlis-majlis Maulidurrasul antaranya boleh dilihat disini www.al-fanshuri.blogspot.com.

Teringat kata-kata Al-Habib Jindan bin Naufal bin Salim, yang mana ayahnya seorang ulama' yang hebat dan tersohor di Jakarta suatu masa dahulu, "Barangsiapa yang mengaku bahawa dia beriman kepada Rasulullah saw tetapi tidak mencintai Rasulullah saw, maka imannya palsu"

Wal'iyazubillah.
Mudah-mudahan kita termasuk daripada golongan yang mencintai Rasulullah saw dan dipelihara daripada golongan yang tidak mencintai Rasulullah saw. Amin Ya Rabb.. (^_^)

Monday, January 16, 2012

Dimaafkan pada babnya

Bismillah, walhamdulillah..
Selawat dan salam ke atas junjungan kita Rasulullah saw serta keluarga dan para sahabatnya..

Saudara-saudaraku,

Berikan perhatian pada beberapa masalah yang disebutkan dibawah ini supaya ibadah kita diterima Allah taala mudah-mudahan.

Ketahuilah, adalah beberapa najis itu dimaafkan pada bab-bab yang tertentu. Tetapi ingat, apabila dimaafkan pada suatu bab, ia tidak membawa maksud bahawa najis itu dimaafkan pada bab yang lain.

Di bawah penulis memberikan beberapa contoh tentang masalah ini.

Masalah 1: Najis yang dimaafkan pada bab sembahyang tetapi tidak maafkan pada bab air.

Dimaaf pada bab sembahyang

Seperti darah bisul yang mengalir keluar secara tidak sengaja (contoh : terpecah bisul) ketika seseorang itu sedang sembahyang, maka sembahyangnya adalah sah kerana darah tersebut adalah najis yang dimaafkan (pada bab sembahyang).

Tidak dimaaf pada bab air

Jika darah bisul itu termasuk ke dalam baldi, kemudian di gunakan air dalam baldi itu untuk mengambil wudhuk, maka tidak sah wudhuknya kerana darah bisul itu telah mengubah air dalam baldi itu kepada air mutannajis (air yang kena najis), darah bisul itu adalah najis yang tidak dimaafkan (pada bab air).

Masalah 2(a) : Najis yang dimaafkan pada bab makan tetapi tidak maaf pada bab sembahyang.

Maaf pada bab makan minum

Seperti darah daging yang masih tertinggal dalam isi daging selepas dibasuh dan dicucikan daging itu, kemudian daging itu dimasak gulai, maka darah yang didalam daging itu akan bercampur dengan gulai, maka ketika ini darah yang masih tertinggal dalam daging itu adalah najis yang dimaafkan, dan gulai itu boleh dimakan walaupun telah bercampur dengan darah yang keluar daripada dalam daging itu.


Tidak dimaaf pada bab sembahyang

Adapun jika gulai itu terkena pada pakaian seseorang ketika ia sedang makan gulai itu, kemudian dibawa pakaiannya itu ke dalam sembahyang, maka tidak sah sembahyangnya kerana gulai itu telah bercampur dengan darah dalam daging itu, dan darah daging itu adalah najis yang tidak dimaafkan (pada bab sembahyang).




Masalah 2(b) :  Najis yang dimaafkan pada bab makan tetapi tidak maaf pada bab sembahyang.


Maaf pada bab makan minum


Seperti seekor semut terjatuh ke dalam air tanpa perbuatan seseorang (contoh : semut itu ditiup angin lalu masuk kedalam air), lalu semut itu mati menjadi bangkai. Air itu boleh diminum (tetapi hendaklah dibuang semut itu terlebih dahulu) kerana bangkai semut itu adalah najis yang dimaafkan (pada bab makan minum).


Tidak dimaaf pada bab sembahyang

Jika seekor bangkai semut didapati didalam poket seseorang setelah sembahyangnya, maka hendaklah ia mengulangi sembahyangnya semula kerana sembahyangnya itu adalah tidak sah kerana bangkai semut itu adalah najis yang tidak dimaafkan (pada bab sembahyang).



Mungkin kita cuai dengan beberapa hukum-hakam kerana kurang mengambil berat tentang hukum hakam ini. Astaghfirullah.. Tuntutlah ilmu agama. Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Wallahualam.
Ini hanyalah daripada ilmu yang sedikit yang telah aku pelajari daripada masyaikhku. Mohon teguran jika ada salah silap.