Sunday, December 4, 2011

Raja' (Harap)

Bismillah. Walhamdulillah.. 
Selawat dan Salam atas junjugan Nabi saw dan keluarganya serta para sahabat r.a.

Raja' itu harap. Lawannya putus asa.

Bermula perkara-perkara bagi menghasilkan raja' itu ada empat :

1. Engkau sebut dahulu kurnia-kurnia Allah kepadamu daripada ketiadaan mendahulu bagi amal. Yakni sebutlah engkau kurnia-kurnia Allah sebelum engkau beramal kepadaNya seperti Allah mengurniakan makan minum bagimu sedang engkau masih belum beramal apa yang diperintahNya. 

2. Menyebutkan barang yang dijanjinya daripada berpanjangan pahalanya dan besar pemberian dan keramatnya (kemuliaannya) sekira-kira semata-mata kurnianya dan kemurahannya itu tiada patut kamu dengan pemberianNya dengan apa yang kamu kerjakan. Yakni sebutlah anugerah janjian Allah yang amat besar dan ingatlah bahawa pemberian Allah itu tidak patut bagi kamu sebenarnya kerana kecilnya amalan kamu itu. 

3. Menyebutkan nikmat-nikmat Allah atasmu pada pekerjaan agama dan duniamu sekarang daripada bagai pertolongan dan kasih sayang nya daripada ketiadaan jalan yang patut amal kamu atau pinta kamu akan dia. Yakni sebutlah engkau nikmat-nikmat Allah terhadap engkau pada waktu senangmu dan sebutlah pertolongan-pertolongan Allah atasmu ketika engkau susah dan ingatkah bahawa nikmat dan pertolongan Allah itu tidak patut sebenarnya bagi engkau kerana sangat kecilnya amalan kamu kepadaNya. 

4. Menyebutkan luas rahmat Allah taala dan mendahulukan akan ghadabnya (murkanya) dan bahawasanya ia tuhan yang rahman dan rahim lagi ghaniyy (kaya) lagi mulia lagi rauf bagi segala hambaNya. Yakni sebutlah engkau wahai orang-orang yang menuntut jalan Allah, sebutlah keluasan rahmat Allah. Perhatikanlah kepada ayat-ayat Allah dimana ia banyak mendahulukan menyebut sifat-sifatnya yang rahmat seperti ArRahman, ArRahim, dahulu daripada sifat-sifatNya yang murka seperti Al-Jabbar dan Al-Qahhar (Yang Maha Mengerasi). Demikianlah ayat-ayat Allah supaya engkau tahu dan beringat dengan kasih sayang Allah, maka mulakanlah dengan menyebut sifat-sifat Tuhanmu yang rahmat.  

Maka apabila engkau lazimkan menyebut akan 4 perkara ini, maka dilimpahkan oleh Allah taala ke dalam hatimu sifat raja' (harap) pada tiap-tiap kelakuanmu.

Apabila hadir sifat ini dalam hatimu, sentiasalah bersangka baik dengan apa yang berlaku ke atas dirimu walau senang atau susah. Jangan putus asa terhadap rahmat Allah.

Tiliklah diri engkau dengan penuh kehinaan daripada sifat raja' ini. Apabila melihat dirimu itu penuh dengan kehinaan dan tidak patut bagi mu itu dengan nikmat dari Allah, maka lahirlah keinsafan dalam dirimu yang engkau lalaikan selama ini.

Syeikhuna Tuan Guru Hj Mohd Hafidz bin Hj Selamat telah membacakan sebuah pepatah Arab yang sangat indah, berbunyi sedemikian :

"Engkau mengharapkan sebuah kemenangan,
  tetapi engkau tidak jalan atas sebab bagi kemenangan, 
  ketahuilah olehmu bahawa sebuah kapal itu tidak akan berjalan di atas tanah yang   kering." 



Untuk menjalankan sebuah kapal, jalankan lah ia diatas jalan yang menjadi sebab bagi kapal itu berjalan iaitu laut. Untuk menjalankan sebuah kemenangan maka jalanlah diatas jalan yang menjadi sebab bagi kemenangan itu.

Kemenanganlah bagi orang-orang yang bermujahadah mencari jalan bagi mendapatkan kemenangan diakhirat kelak. (^_^)

Carilah jalan kemenangan yang kekal abadi. Jangan bertangguh. Umur hanyalah angka, ingatlah ajal itu tidak bergantungan pada angka. 

Wallahu taala a'la waa'lam.

Rujukan :
1. Minhajul Abidin ila jannati rabbil alamin

No comments: