Saturday, December 31, 2011

Ziarah Makam

Bismillah, walhamdulillah..
Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad saw dan keluarga serta para sahabatnya..

Adab-adab menziarahi makam ulama' dan auliya' :


Apabila sampai sahaja dimakam, lalu dibacakan, bacaan tahiyat akhir ketika sembahyang.

Sesudah itu mengucapkan Salam (yang dipuisikan oleh Habib Abdullah bin Alwi Al Haddad) kepada Arwah yang diziarahi, seraya menghadap ke Hadirat Allah SWT dengan sepenuh hati iaitu,

Salaamullah yaa Saadah Minarrahmaan yaghsyaakum

(diulang di antara bait-bait berikut:)

Ibaadallah ji’naakum qaashadnaakum thalabnaakum
Tu’inuunaa tughiitsuunaa bihimmatikum wajadwaakum
Fah-buunaa wa uthuuna athaayaakum hadaa yaakum
Falaa Khayyabtumuu zhannii fahasyaakum wahaasyaakum
Sa’idnaa idz atainaakum wafuznaa hiina zurnaakum
Faquumuu wasyfa’uu fiinaa ilar-rahmaan mawlakum
`Asaa nuhzhaa asaa nu`thaa mazaayaa min mazaayaakum
`Asaa Nazhrah `asaa rahmah taghsyaanaa wataghsyaakum
Salaamullah hayyaakum wa’aynullaah tar’aakum
Washallallahu Mawlaana wasallama maa ataynaakum
‘Alal Mukhtaari syaafi’inaa wamunqi dzinaa wa iyyaakum



Terjemahan :

Wahai Tuanku, semoga Salam Allah tetap tercurah padamu
Kami, hamba-hamba Allah datang kepadamu
Kami bermaksud bersentuhan dengan rohanimu dan kami berharap berkahmu
Untuk menolong kami, menyejukkan kami dengan siraman yang berasal darimu, sesuai dengan spirit dan pencapaianmu selama ini.
Maka cintailah dan berikanlah kepada kami apa-apa yang Allah berikan padamu selama ini.
Jangan biarkan pengharapan ini sia-sia, jauhlah engkau semua dari sifat tega menyia-nyiakan kami.
Kami sangat beruntung datang di haribaanmu dan kami amat berbahagia dengan kunjungan ini, maka bangkitlah menjadi syafaat buat kami bermohon pada ar-Rahman tuanmu.
Mudah-mudahan kita dirangkum dan dibelai dengan limpahan karunia yang selama ini dianugerahkan kepadamu.
Mudah-mudahan kita dipandang dan dilimpahi rahmat yang akan makin menyelimuti kita.
Mudah-mudahan engkau semakin dihidupkan dengan belaian Allah dan pandangan menggembalakan.
Mudah-mudahan rahmat Allah semakin terlimpah pada manusia pilihan agar semakin terlimpah untuk kita dan yang menuntun kami semua.

Kemudian dibacakan tahlil ringkas disedekahkan kepada sohibul makam.

Dan berdoa memohon hajat kepada Allah dengan berkat kemuliaan sohibul makam.

Alhamdulillah, Allah mengizinkan hambaNya yang dari jauh ini untuk menziarahi makam seorang ulama' dan wali Allah ini, Syeikh Sayyid Abdul Rahman Al-Aydrus atau gelarannya Tokku Paloh.


Terkadang, orang Terengganu sendiri tidak tahu keistimewaan negeri mereka yang dibanjiri dengan ulama'-ulama' hebat suatu masa dahulu. Subhanallah.. (^_^)



Di dalam pagar hijau itu letaknya makam Tokku Paloh (9/12/2011)

                                                    
                                                        Di pagar luar kawasan makam

Sedikit kisah mengenai beliau :

Seorang Ulama Besar Terengganu pada abad ke-19, Sayyid Abdul Rahman Al-Idrus atau Tokku Paloh Idrus, turut dikenali sebagai wali Allah yang penuh keramat serta sangat ditakuti penjajah.

Diceritakan pada suatu ketika, British cuba berunding dengan Sultan Terengganu iaitu Sultan Zainal Abidin III supaya membenarkan mereka menduduki kawasan Bukit Besar tetapi baginda menyuruh penjajah itu menemui Tokku Paloh. Baginda menyebut, "Terengganu ini ada tuannya, hendaklah berunding dengan tuannya terlebih dulu," yang mungkin bermaksud bahawa Tokku Paloh adalah orang yang lebih berhak memutuskan permintaan berkenaan.

Mendengar jawapan Sultan Terengganu itu, sepasukan pegawai British kemudian bergerak ke rumah ulama itu untuk berunding. Tokku Paloh mengatakan bahawa mereka boleh 'mengambil' Bukit Besar dengan syarat bukit itu dibawa balik ke negeri mereka. "Kalau untuk mencampuri urusan pentadbiran kami, saya menolak walau atas alasan apa sekalipun tapi kalau hendak tanah, silakan. Isikan ke dalam armada tuan sebanyak mana yang pihak British mahu, ambillah tanah," demikianlah jawapan ulama besar itu.

Mendengar jawapan sindiran ulama itu, British berasa sakit hati dan cuba menunjukkan kemarahan mereka dengan bangun daripada kerusi yang diduduki. Akan tetapi, dengan izin Allah, secara tiba-tiba kerusi yang diduduki penjajah melekat di punggung mereka.

Lalu Tokku Paloh menyindir, "Bukan Bukit Besar saja yang kamu mahu ambil, tapi kerusi saya pun kamu mahu ambil juga?" sekali gus menyebabkan British beredar dengan perasaan malu.

Selepas peristiwa itu, British cuba berunding untuk kali kedua dan proses itu diadakan di atas kapal perang mereka yang besar. Ia bertujuan untuk mengugut ulama itu secara psikologi kononnya British memiliki angkatan perang yang besar dan mampu menyerang Terengganu jika hasrat mereka menduduki negeri itu dihalang. Mereka menjemput Tokku Paloh ke kapal berkenaan tetapi ulama itu mengatakan bahawa kapal perang besar itu tak mampu bertahan jika beliau naik.

Pihak British kemudian ketawa mengejek sebaik mendengar kata Tokku Paloh. Ulama itu kemudian naik ke kapal berkenaan dan dengan izin Allah juga, setiap kali Tokku Paloh menyengetkan serbannya ke kanan atau ke kiri, maka kapal besar itu turut senget. Keadaan itu mencemaskan pihak British sehingga mereka membatalkan rundingan itu serta merta.

Pada masa yang lain pula, penjajah itu cuba menghampiri perairan Terengganu tetapi mereka mula ketakutan sebaik melihat negeri itu dijaga pahlawan Melayu yang siap bersenjata sejauh mata memandang. Keadaan itu menyebabkan mereka takut menjajah Terengganu selagi Tokku Paloh masih hidup. Demikianlah antara beberapa kisah Tokku Paloh, seorang ulama besar yang berjaya menyekat penjajahan British pada peringkat awal di Terengganu.

Tokku Paloh meninggal dunia pada September 1917 selepas jatuh sakit pada usia 100 tahun. Tidak lama kemudian, Sultan Zainal Abidin III mangkat pada 26 November 1918. Selepas kewafatan ulama itu, barulah British berani dan berjaya menjajah Terengganu pada 24 Mei 1919.


Kata Syeikhuna Tuan Guru Hj Mohd Hafidz b Hj Selamat : "Lebih baik duduk dengan orang yang telah mati tetapi hatinya hidup daripada duduk dengan orang yang hidup tetapi hatinya mati".

Perhatian : Berhati-hati dengan sebahagian fahaman-fahaman baru yang menyesatkan dan membid'ahkan amalan menziarahi makam. Hendaklah kita memiliki ilmu mengenai sesuatu itu sebelum kita hendak menghukumkan sesuatu itu.


Wallahua'lam. (^_^)

Sunday, December 4, 2011

Raja' (Harap)

Bismillah. Walhamdulillah.. 
Selawat dan Salam atas junjugan Nabi saw dan keluarganya serta para sahabat r.a.

Raja' itu harap. Lawannya putus asa.

Bermula perkara-perkara bagi menghasilkan raja' itu ada empat :

1. Engkau sebut dahulu kurnia-kurnia Allah kepadamu daripada ketiadaan mendahulu bagi amal. Yakni sebutlah engkau kurnia-kurnia Allah sebelum engkau beramal kepadaNya seperti Allah mengurniakan makan minum bagimu sedang engkau masih belum beramal apa yang diperintahNya. 

2. Menyebutkan barang yang dijanjinya daripada berpanjangan pahalanya dan besar pemberian dan keramatnya (kemuliaannya) sekira-kira semata-mata kurnianya dan kemurahannya itu tiada patut kamu dengan pemberianNya dengan apa yang kamu kerjakan. Yakni sebutlah anugerah janjian Allah yang amat besar dan ingatlah bahawa pemberian Allah itu tidak patut bagi kamu sebenarnya kerana kecilnya amalan kamu itu. 

3. Menyebutkan nikmat-nikmat Allah atasmu pada pekerjaan agama dan duniamu sekarang daripada bagai pertolongan dan kasih sayang nya daripada ketiadaan jalan yang patut amal kamu atau pinta kamu akan dia. Yakni sebutlah engkau nikmat-nikmat Allah terhadap engkau pada waktu senangmu dan sebutlah pertolongan-pertolongan Allah atasmu ketika engkau susah dan ingatkah bahawa nikmat dan pertolongan Allah itu tidak patut sebenarnya bagi engkau kerana sangat kecilnya amalan kamu kepadaNya. 

4. Menyebutkan luas rahmat Allah taala dan mendahulukan akan ghadabnya (murkanya) dan bahawasanya ia tuhan yang rahman dan rahim lagi ghaniyy (kaya) lagi mulia lagi rauf bagi segala hambaNya. Yakni sebutlah engkau wahai orang-orang yang menuntut jalan Allah, sebutlah keluasan rahmat Allah. Perhatikanlah kepada ayat-ayat Allah dimana ia banyak mendahulukan menyebut sifat-sifatnya yang rahmat seperti ArRahman, ArRahim, dahulu daripada sifat-sifatNya yang murka seperti Al-Jabbar dan Al-Qahhar (Yang Maha Mengerasi). Demikianlah ayat-ayat Allah supaya engkau tahu dan beringat dengan kasih sayang Allah, maka mulakanlah dengan menyebut sifat-sifat Tuhanmu yang rahmat.  

Maka apabila engkau lazimkan menyebut akan 4 perkara ini, maka dilimpahkan oleh Allah taala ke dalam hatimu sifat raja' (harap) pada tiap-tiap kelakuanmu.

Apabila hadir sifat ini dalam hatimu, sentiasalah bersangka baik dengan apa yang berlaku ke atas dirimu walau senang atau susah. Jangan putus asa terhadap rahmat Allah.

Tiliklah diri engkau dengan penuh kehinaan daripada sifat raja' ini. Apabila melihat dirimu itu penuh dengan kehinaan dan tidak patut bagi mu itu dengan nikmat dari Allah, maka lahirlah keinsafan dalam dirimu yang engkau lalaikan selama ini.

Syeikhuna Tuan Guru Hj Mohd Hafidz bin Hj Selamat telah membacakan sebuah pepatah Arab yang sangat indah, berbunyi sedemikian :

"Engkau mengharapkan sebuah kemenangan,
  tetapi engkau tidak jalan atas sebab bagi kemenangan, 
  ketahuilah olehmu bahawa sebuah kapal itu tidak akan berjalan di atas tanah yang   kering." 



Untuk menjalankan sebuah kapal, jalankan lah ia diatas jalan yang menjadi sebab bagi kapal itu berjalan iaitu laut. Untuk menjalankan sebuah kemenangan maka jalanlah diatas jalan yang menjadi sebab bagi kemenangan itu.

Kemenanganlah bagi orang-orang yang bermujahadah mencari jalan bagi mendapatkan kemenangan diakhirat kelak. (^_^)

Carilah jalan kemenangan yang kekal abadi. Jangan bertangguh. Umur hanyalah angka, ingatlah ajal itu tidak bergantungan pada angka. 

Wallahu taala a'la waa'lam.

Rujukan :
1. Minhajul Abidin ila jannati rabbil alamin