Friday, August 26, 2011

Tempat dan Arah

Tempat dan arah adalah sebahagian daripada kejadian-kejadian (makhluk) Allah taala. Ia dijadikan bagi menempati makhluk-makhlukNya seperti manusia, jin, binatang, tumbuhan. Sekalian alam adalah diciptakan oleh Pencipta yang Maha Kuasa. Dan Ia (Allah) tidak Ia serupa dengan sesuatu yang selainNya dan tidak sesuatu yang selainNya serupa denganNya. 

Nas daripada kitab Durus Samin karangan Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani ra : 

“Dan barangsiapa yang menyabitkan bagi Allah jihah (arah) seperti dikata Allah pada langit tiada kufur tetapi haram atasnya. Dan demikian lagi, dikata Allah berjisim tetapi tiada seperti segala jisim. Dan tiada harus dikata Allah didalam alam atau diluar alam kerana memberi ibham dan jahat adab serta Allah taala walau sah maknanya sekalipun..”.

“..Mustahil Allah itu berjihah kerana jihah itu tiada ia melainkan jirim dan Allah mustahil daripada jirim atau ada ia bertempat kerana tempat itu baharu yakni mustahil baginya bertempat..”

1. Haram bahawa seseorang itu mengatakan “Allah itu berjisim tetapi tidak berjisim seperti makhluk” atau ia berkata “Allah itu bertangan tetapi tidak bertangan seperti makhluk” atau ia berkata “Allah itu duduk bersila tetapi tidak duduk bersila seperti makhluk”. Intaha

2. Tidak layak bagi Allah itu jihah yakni arah.

3. Tidak layak bagi Allah itu tempat.

4. Hanya arah dan tempat itu layak bagi sesuatu yang baharu yakni makhluk kerana arah dan tempat itu  baharu.

5. Adalah mustahil Yang Qadim (Tuhan) itu berhajat kepada yang baharu (Makhluk).  

Perhatian:

Telah zahir pada akhir zaman ini  beberapa golongan yang menyabitkan perkataan-perkataan  yang memberi ragu terhadap akidah umat Islam.
Oleh itu, berilah perhatian terhadap perkara-perkara ini.

Jangan terpengaruh dengan kedudukan dan pangkat dan kemasyhuran dan pengaruh dan sijil yang dimiliki oleh seseorang. Yang demikian bukanlah menjadi dalil bahawa seseorang itu pasti benar perkataannya dan iktiqadnya.

Berpegang kepada majoriti ulama’, itulah yang terlebih selamat.  

Kata Saidina Ali ibn Abi Talib karamallahu wajhah : “Lihat pada apa yang ia kata, jangan lihat pada siapa yang berkata”. 

Wallahua'alam.
Ini hanyalah daripada ilmu yang sedikit yang telah aku pelajari daripada masyaikhku. Mohon teguran jika ada salah silap.  

Saturday, August 13, 2011

Menyentuh AlQuran

Sebahagian daripada lima perkara yang diharamkan ketika berhadas kecil (yakni tiada wudhuk) itu ialah menyentuh akan mashaf.



Nas kitab Bahrul Wafi Wan Nahris Sofiy karangan Allamah Syeikh Muhammad bin Ismail Daud Al-Fathani :

" Maka yang haram dengan hadas kecil itu iailah lima perkara.. Dan keempatnya menyentuh mashaf dan jika dengan berlapik yang tebal sekalipun sekira-kira dibilangkan menyentuh pada 'uruf (yakni adat). Dan dikehendak dengan mashaf itu tiap-tiap yang disurat padanya sesuatu daripada AlQuran dengan qasad dibacakan dia sepeti lauh atau tiang atau dinding yang disurat atasnya AlQuran kerana dibacakan dia, maka haram menyentuhnya serta hadas samaada pada yang demikian itu kadar yang masyghul dengan suratan dan lainnya seperti segala tepi-tepinya dan barang yang antara segala satarnya (yakni hamparannya). Dan haram pula menyentuh kulit mashaf yang berhubung dengan dia demikian lagi bercerainya selama tiada terputus nisbahnya (yakni yang dibangsakan kepada AlQuran) seperti yang sudah dijadikan dia kulit kitab dan jika putus nisbahnya daripadanya (AlQuran) maka tiada haram"

Dalam berhadas,

1. Haram menyentuh Al-Quran..

2. Haram menyentuh sesuatu yang ditulis padanya AlQuran seperti dinding atau papan, dengan syarat dituliskan ayat AlQuran itu untuk dibaca. Faham daripada syarat untuk dibaca itu, jika dengan kerana azimat atau kerana mengambil berkat maka tiada mengapa (yakni tidak haram menyentuhnya). Seperti dinar atau wang kertas atau kertas yang ditulis atasnya ayat AlQuran selain daripada untuk dibacakan dia.

3. Haram menyentuh kulit AlQuran walaupun dengan berlapik.

4. Haram menanggung AlQuran.

5. Haram juga menyentuh kulit AlQuran walaupun ia masih dinisbahkan kepada AlQuran.

6. Tidak haram jika menyentuh dan menanggung AlQuran itu kerana menyelamatkan ia daripada dihina seperti daripada jatuh ke tangan orang kafir atau daripada jatuh atas lantai.

Perhatian :

1. Wajib ibubapa menegah anak yang belum mumayyiz daripada menanggung AlQuran. Mumayyiz, yakni anak yang masih belum pandai membeza yang baik dan buruk iaitu belum pandai mengurus membersihkan diri atau makan dengan sendiri, atau pakai pakaian dengan sendiri, biasanya dalam lingkungan umur 6 atau 7 tahun.

2. Sunat menegah anak yang telah mumayyiz daripada menanggung AlQuran jika selain daripada belajar AlQuran dan membacanya.

3. Haram ibubapa menyuruh anak yang belum mumayyiz menanggung AQuran kerana untuk mengalihkan AlQuran dari suatu tempat ke tempat yang lain. Seperti ibubapa yang tidak berwudhuk lalu menyuruh anaknya mengangkat dan mengalihkan AlQuran dari suatu tempat ke tempat yang lain. 

Wallahua'alam.
Ini hanyalah daripada ilmu yang sedikit yang telah aku pelajari daripada masyaikhku. Mohon teguran jika ada salah silap. 

Sunday, August 7, 2011

Bagaimana sepatutnya kita menerima nasihat

Pesanan Al-Imam Ghazali r.a :

Wahai anakku yang tercinta,

Memberi nasihat itu sebenarnya mudah sahaja, yang berat ialah menerima isi nasihat tersebut kerana setiap nasihat itu dirasakan tersangat pahit bagi siapa yang selalu mengikuti hawa nafsunya. Nafsu sangat mencintai perkara-perkara yang dilarang apatah lagi bagi orang yang mencari ilmu yang rasmi (maksudnya mencari ilmu untuk mendapat suatu gelaran rasmi) dan sentiasa sibuk untuk menonjolkan kehebatan dirinya dan menghimpunkan kesenangan dalam dunia kerana orang yang seperti ini selalu menganggap bahawa hanya dengan sekadar memperolehi ilmu itu sudah cukup menjadi sebab keselamatannya dan kebahagiaannya dan ia tidak perlu beramal dengan ilmu yang dipelajarinya. Orang yang seperti ini sebenarnya telah terpengaruh dengan iktikad dan pemikiran ahli falsafah. Subhanallah, alangkah kelirunya pemikiran sseperti ini...