Thursday, October 13, 2011

Beautiful Advice

Bukanlah menuntut ilmu itu untuk menuding jari kepada orang lain, samaada mencari kesalahan itu dan ini, atau melabel orang itu dan ini, atau mencari kelemahan itu dan ini pada seseorang. Akan tetapi menuntut ilmu itu adalah bagi mencari kelemahan pada diri sendiri, melabel diri sendiri, dan mencari kehinaan diri. Semakin banyak kelemahan dan kehinaan diri yang dijumpai, maka itulah matlamat ilmu....

Kata Habib Ali Zainal Abidin Al-Jufri, " Salah satu sifat syaitan itu adalah berkata, " Aku lebih baik dari si fulan", akan tetapi salah satu sifat Rasulullah saw itu adalah berkata, " Si fulan itu lebih baik dari aku".

Dua watak yang berbeza antara Junjungan Sayyidina Muhammad saw dan syaitan. Maka, lihatlah dan tiliklah pada diri kita. Sifat siapakah yang ada pada diri kita sekarang? Perbaikilah dan perelokkanlah, Allah Maha Pemberi Taufik dan Hidayah.

Kata Al-Habib Ali bin Zainal Abidin AlJufri : "Adakah boleh seorang yang berbangga dengan dirinya menegakkan kebenaran? Jangan sesekali kita berkata, " Akulah yang terbaik untuk menyelesaikan masalah dunia ini", walaupun atas nama Islam. Hendaklah kita membersihkan hati kita dahulu daripada sifat berbangga diri ini. Lakukanlah kerja-kerja yang meningkatkan sifat kerendahan dan kehambaan dalam hatimu".

Begitu juga pesanan Syeikhuna Tuan Guru Hj Mohd Hafidz bin Hj Selamat, " Lazimkan diri dengan kerja-kerja hamba supaya bertambah sifat kehambaan didalam hati. Tidak beroleh seseorang itu akan ilmu melainkan hendaklah ia menghambakan dirinya terlebih dahulu kerana ilmu itu tuan".
Beberapa alamat daripada alamat yang banyak tentang ilmu yang bermanfaat itu adalah apabila semakin engkau menuntut akan ilmu, maka semakin engkau melihat cela dan aib pada dirimu. Sebaliknya bukan semakin engkau melihat cela dan aib yang ada pada diri orang lain.

Apabila engkau merasai bertambahnya ilmumu, maka akan bertambahlah rasa kehebatan pada dirimu. Ketika engkau merasai dirimu itu adalah diatas orang lain. Maka itu adalah tipu daya syaitan.

Hendaklah semakin bertambah engkau menuntut ilmu , semakin engkau merasai akan jahilnya dirimu. Dan merasa rendahnya dirimu itu.



Wallahua'lam.

Friday, October 7, 2011

Marhaban Ya Imamul Karim

                              
Hari Haul - Majlis Sambutan Memperingati Hari Kewafatan As-Sayyid Al-Imam Al-Habib Abdullah bin Alawi Al-Haddad, genap 300 tahun Sohibul Haul meninggalkan kita. (5 Saafar 1044H - 7 Dhul-Qo’dah 1132 H). Sambutan di Yayasan Al-Jenderami.



Para tetamu Allah yang khusyuk mendengar tausiyyah oleh Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid, mendengar nasihat-nasihat dan mutiara kata daripada beliau yang disampaikan dengan penuh lemah lembut. 


Salah satu pesanan beliau didalam tausiyyahnya adalah, "Sentiasalah duduk bersama orang soleh supaya kita mendapat cahaya daripada cahaya-cahaya yang Allah kurniakan bagi mereka". Selain itu, banyak beliau menceritakan kisah-kisah pengajaran yang dapat diambil daripada teladan kisah Sohibul Haul.


Didalam hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari r.a bahawasanya Allah taala mengutuskan beberapa malaikat untuk mencari majlis-majlis zikir lalu terdapat seorang didalam majlis zikir itu datang kesana bukan untuk berzikir mengingati Allah tetapi datang hanya kerana hajat ingin bertemu kawannya, lalu malaikat itu melaporkan kepada Allah hal keadaan lelaki itu, lalu Allah taala menjawab, "Mereka adalah kaum yang tidak akan celaka orang yang duduk bersama mereka".  

                                                 
                                          Kumpulan qasidah Al-Jenderami


Syeikhuna Tuan Guru Hj Mohd Hafidz bin Hj Selamat sedang membaca maulid Simtud Durar karangan Habib Ali Al-Habsyi.


Qasidah disertai pukulan-pukulan kompang yang mengetuk hati-hati manusia mengingati akan Allah dan RasulNya.
 

Qasidah adalah terdiri daripada selawat dan pujian-pujian terhadap Rasulullah saw yang dibacakan dengan alunan yang merdu untuk menghidupkan sifat kasih dan cinta kepada penghulu segala 'alam.


                   Berdiri bagi menghormati kehadiran Rasulullah saw dan Sohibul Haul.



                                          Bayi yang ditahnikkan ketika Qiyam.

                             
                     Semoga kita sentiasa didalam doa mereka para ulama' 'amilin. Amin..

Indahnya Islam ini mendidik umatnya dengan majlis-majlis yang diberkati ini. Sama-sama kita menghadiri majlis Haul Akbar As-Sayyid Al-Imam Al-Habib Abdullah bin Alawi Al-Haddad pada Hari Sabtu (8.10.2011) jam 6-10pm di Masjid Negeri Shah Alam, Selangor.

Teringat pesan Tuan Guru, " Jangan rasa ilmu dan amalan kita ini besar, sangat sedikit ilmu dan amalan kita, tidak boleh membawa kita ke syurga, yang membawa kita ke syurga adalah syafaat para Nabi, auliya', dan solihin. Berduduk-duduklah kerana Allah".

Syukran kepada Darul Murtadza dengan photo-photo diatas.

Monday, October 3, 2011

Lumpur

Nas kitab Kifayatul Muhtadi karangan Allamah Syeikh Muhammad Nur bin Muhammad bin  Ismail Al-Fathani :

“..Dan demikian lagi (yakni dimaafkan) najis yang tiada kelihatan pada mata yang pertengahan  dan jika adalah najis itu daripada anjing atau babi sekalipun maka dimaafkan daripadanya maka apabila mengenai ia akan sesuatu tiada menajiskan dia demikian lagi dimaafkan daripada sedikit lumpur jalan raya yang diyakinkan najisnya dan jika daripada najis yang mughallazah sekalipun selama tiada nyata ain najis dan bersalahan2 qadar lumpur yang dimaafkan daripadanya kerana bersalahan2 masanya dan tempatnya daripada kain dan badan maka qadar yang dimaafkan dia pada masa hujan, tiada dimaafkan pada masa kemarau dan qadar yang dimaafkan dia pada kaki baju dan kaki kain baju tiada dimaafkan dia pada tangannya dan tangan bajunya..”


1. Sekalian najis yang tiada kelihatan pada mata orang yang pertengahan adalah dimaafkan walaupun ianya    adalah najis mughallazah. Orang yang pertengahan yakni orang yang tidak terlalu tajam dan tidak terlalu rabun mata.

           2. Lumpur yang terpercik kena pada kain adalah dimaafkan walaupun lumpur itu diyakini bahawa ada najis padanya selama tiada ‘ain najis (diri najis) kelihatan pada kain.

     3. Ada beberapa had lumpur yang terpercik yang dimaafkan :
a.       Waktu dalam keadaan hujan dan berlumpur atau lecak. Adapun, dalam keadaan kemarau tiada dimaafkan.
b.      Terpercik itu pada pakaian bahagian kaki baju. Adapun, bahagian kaki baju dan keatas seperti lengan adalah tidak dimaafkan.

Wallahua'alam.
Ini hanyalah daripada ilmu yang sedikit yang telah aku pelajari daripada masyaikhku. Mohon teguran jika ada salah silap.  

Rujukan:
        1. Kifayatul Muhtadi

Thursday, September 22, 2011

Jamak


Jamak ertinya himpun.

Nas kitab Bahrul Wafi Wan Nahris Sofiy karangan Allamah Syeikh Muhammad bin Ismail Daud Al-Fathani:
 
"Harus dijamakkan sembahyang pada safar yang harus qasar itu antara sembahyang zohor dan sembahyang asar dan antara sembahyang maghrib dan sembahyang isyak dengan jamak taqdim atau jamak takhir maka jamak taqdim itu ia sembahyangkan  asar dalam waktu zohor dan sembahyangkan isyak dalam waktu maghrib dan jamak takhir itu ia sembahyangkan zohor dalam didalam waktu asar dan ia sembahyangkan maghrib dalam waktu isyak dan tiada dijamakkan subuh serta yang lainnya dan tiada dijamak serta maghrib.." Intaha.

"Dan disyaratkan bagi jamak taqdim itu empat syarat, maka syarat yang pertamanya tertib iaitu didahulukan sembahyang yang empunya waktu kerana sembahyang yang kedua itu mengikut bagi sembahyang yang pertama.. Dan syarat yang keduanya niat jamak didalam waktu sembahyang yang empunya waktu dan jika ada niat itu serta salamnya sekalipun memadalah.. Dan syarat yang ketiganya muwalat antara sembahyang yang pertama dan antara yang keduanya bahawa jangan ada perceraian yang panjang pada 'uruf iaitu kadar masa lulus sembahyang dua rakaat dengan sekurang-kurang mungkin.. Dan syarat yang keempatnya berkekalan safarnya hingga sampai kepada takbiratul ihram sembahyang yang kedua dan tiada disyaratkan berkekalan safarnya hingga sempurna sembahyang yang kedua.." Intaha.

"Dan disyaratkan bagi jamak takhir dua syarat jua, syarat yang pertama niat jamak didalam waktu yang pertama yakni niat jamak sebelum keluar waktu yang pertama.. Dan syarat yang keduanya berkekalan safarnya hingga sempurna kedua sembahyangnya.." Intaha.

Penjelasan :

1. Sembahyang yang boleh dijamakkan adalah sembahyang zohor dengan asar dan sembahyang maghrib dengan isyak. Tidak sah dijamakkan sembahyang zohor dengan maghrib atau dijamakkan sembahyang asar dengan isyak.

2. Tiada boleh dijamakkan sembahyang subuh dengan sembahyang yang lain, seperti dijamakkan sembahyang subuh dengan zohor, atau dengan asar, atau dengan maghrib, atau dengan isyak.

3. Jamak itu ada dua iaitu jamak taqdim dan jamak takhir.
Jamak taqdim : Menghimpunkan sembahyang yang kedua kedalam waktu yang pertama seperti sembahyang asar dihimpun kedalam waktu zohor.
Jamak takhir : Menghimpunkan sembahyang yang pertama kedalam waktu yang kedua seperti sembahyang zohor dihimpun kedalam  waktu asar. 

4.  Ada 4 syarat bagi jamak taqdim :
     
 1. Dilakukan kedua sembahyang itu secara tertib (mengikut turutan) iaitu mendahulukan sembahyang zohor daripada sembahyang asar, dan mendahulukan sembahyang maghrib daripada sembahyang isyak.
  2. Meniatkan jamak taqdim didalam sembahyang yang pertama. Seperti apabila seseorang itu hendak jamak sembahyang zohor dan asar, hendaklah ia berniat jamak taqdim dalam sembahyang  zohor. Jika dia meniatkan jamak taqdim pada rukun salam dalam sembahyang yang pertama sekalipun, memadalah.
  3. Melakukan kedua-dua sembahyang yang dijamakkan itu dengan muwalat (berturutan) iaitu tidak lebih jarak antara dua sembahyang  yang dijamakkan itu kadar masa sembahyang dua rakaat yang pendek. Seperti apabila seseorang itu hendak jamak sembahyang zohor dan asar, selepas daripada sembahyang zohor, hendaklah dia segerakan sembahyang asar. Jika dia berehat  duduk selepas sembahyang zohor dalam jangka masa lebih daripada dua rakaat sembahyang pendek, maka tidak sah sembahyang jamaknya.
  4.  Kekal dalam musafir sehingga takbiratul ihram dalam sembahyang yang kedua.  Seperti apabila seseorang itu hendak jamak sembahyang zohor dan asar, hendaklah dia pastikan bahawa kedua-dua sembahyangnya didalam musafir sekurang-kurangnya dia mendapat takbiratul ihram sembahyang asar masih dalam musafir. Masalah ini timbul apabila seseorang itu sembahyang dalam kenderaan seperti kapal. Jika sedang dia sembahyang, kemudian kapal sudah tiba dalam mukimnya sebelum dia sempat takbiratul ihram sembahyang asar, maka tiada sah jamaknya.
  5. Ada 4 syarat bagi jamak takhir:
                1. Meniatkan jamak takhir didalam waktu yang pertama. Seperti apabila seseorang itu hendak jamak takhir sembahyang zohor dan asar, hendaklah dia berniat jamak takhir dalam waktu zohor. Jika dia tidak berniat dalam waktu zohor, maka tidak sah jamaknya itu.
* Perbezaan sembahyang jamak taqdim dan jamak takhir iaitu, jamak taqdim diniatkan dalam sembahyang manakala jamak takhir diniatkan dalam waktu.
                2.  Kekal dalam musafir sehingga sempurna sembahyang yang kedua.  Seperti apabila seseorang itu hendak jamak sembahyang zohor dan asar, hendaklah dia pastikan bahawa kedua-dua sembahyangnya sempurna didalam musafir. Masalah ini timbul apabila seseorang itu sembahyang dalam kenderaan seperti kapal. Jika sedang dia sembahyang, kemudian kapal sudah tiba dalam mukimnya sebelum dia sempat sempurna sembahyang asar, maka tiada sah jamaknya.

Perhatian : 

Beri perhatian pada beberapa masalah yang di highlightkan kerana banyak orang yang mengambil remeh tentang masalah-masalah yang tersebut itu.
Sebelum melakukan sembahyang jamak, hendaklah kita telah sedia tahu tentang syarat-syarat sah bagi sembahyang jamak taqdim dan takhir. Kerana tidak tahu atau jahil tentang ilmu ini, boleh membawa kepada tidak sah sembahyang jamak yang kita lakukan. Apabila tidak sah sembahyang jamak, maka tidak sahlah  dua sembahyang kita.
Eloklah bagi sesiapa yang masih belum mengetahui tentang syarat-syarat jamak taqdim dan takhir supaya tidak melakukan sembahyang jamak. Dan hanya sembahyang seperti biasa jua, ia juga memadai. 

Wallahua’lam.

Rujukan :
1.        Kitab Bahrul Wafi Wan Nahris Sofiy
2.        Kitab Hidayatus Sibyan Fi Ma’rifatil Islam Wal Iman

Friday, August 26, 2011

Tempat dan Arah

Tempat dan arah adalah sebahagian daripada kejadian-kejadian (makhluk) Allah taala. Ia dijadikan bagi menempati makhluk-makhlukNya seperti manusia, jin, binatang, tumbuhan. Sekalian alam adalah diciptakan oleh Pencipta yang Maha Kuasa. Dan Ia (Allah) tidak Ia serupa dengan sesuatu yang selainNya dan tidak sesuatu yang selainNya serupa denganNya. 

Nas daripada kitab Durus Samin karangan Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani ra : 

“Dan barangsiapa yang menyabitkan bagi Allah jihah (arah) seperti dikata Allah pada langit tiada kufur tetapi haram atasnya. Dan demikian lagi, dikata Allah berjisim tetapi tiada seperti segala jisim. Dan tiada harus dikata Allah didalam alam atau diluar alam kerana memberi ibham dan jahat adab serta Allah taala walau sah maknanya sekalipun..”.

“..Mustahil Allah itu berjihah kerana jihah itu tiada ia melainkan jirim dan Allah mustahil daripada jirim atau ada ia bertempat kerana tempat itu baharu yakni mustahil baginya bertempat..”

1. Haram bahawa seseorang itu mengatakan “Allah itu berjisim tetapi tidak berjisim seperti makhluk” atau ia berkata “Allah itu bertangan tetapi tidak bertangan seperti makhluk” atau ia berkata “Allah itu duduk bersila tetapi tidak duduk bersila seperti makhluk”. Intaha

2. Tidak layak bagi Allah itu jihah yakni arah.

3. Tidak layak bagi Allah itu tempat.

4. Hanya arah dan tempat itu layak bagi sesuatu yang baharu yakni makhluk kerana arah dan tempat itu  baharu.

5. Adalah mustahil Yang Qadim (Tuhan) itu berhajat kepada yang baharu (Makhluk).  

Perhatian:

Telah zahir pada akhir zaman ini  beberapa golongan yang menyabitkan perkataan-perkataan  yang memberi ragu terhadap akidah umat Islam.
Oleh itu, berilah perhatian terhadap perkara-perkara ini.

Jangan terpengaruh dengan kedudukan dan pangkat dan kemasyhuran dan pengaruh dan sijil yang dimiliki oleh seseorang. Yang demikian bukanlah menjadi dalil bahawa seseorang itu pasti benar perkataannya dan iktiqadnya.

Berpegang kepada majoriti ulama’, itulah yang terlebih selamat.  

Kata Saidina Ali ibn Abi Talib karamallahu wajhah : “Lihat pada apa yang ia kata, jangan lihat pada siapa yang berkata”. 

Wallahua'alam.
Ini hanyalah daripada ilmu yang sedikit yang telah aku pelajari daripada masyaikhku. Mohon teguran jika ada salah silap.  

Saturday, August 13, 2011

Menyentuh AlQuran

Sebahagian daripada lima perkara yang diharamkan ketika berhadas kecil (yakni tiada wudhuk) itu ialah menyentuh akan mashaf.



Nas kitab Bahrul Wafi Wan Nahris Sofiy karangan Allamah Syeikh Muhammad bin Ismail Daud Al-Fathani :

" Maka yang haram dengan hadas kecil itu iailah lima perkara.. Dan keempatnya menyentuh mashaf dan jika dengan berlapik yang tebal sekalipun sekira-kira dibilangkan menyentuh pada 'uruf (yakni adat). Dan dikehendak dengan mashaf itu tiap-tiap yang disurat padanya sesuatu daripada AlQuran dengan qasad dibacakan dia sepeti lauh atau tiang atau dinding yang disurat atasnya AlQuran kerana dibacakan dia, maka haram menyentuhnya serta hadas samaada pada yang demikian itu kadar yang masyghul dengan suratan dan lainnya seperti segala tepi-tepinya dan barang yang antara segala satarnya (yakni hamparannya). Dan haram pula menyentuh kulit mashaf yang berhubung dengan dia demikian lagi bercerainya selama tiada terputus nisbahnya (yakni yang dibangsakan kepada AlQuran) seperti yang sudah dijadikan dia kulit kitab dan jika putus nisbahnya daripadanya (AlQuran) maka tiada haram"

Dalam berhadas,

1. Haram menyentuh Al-Quran..

2. Haram menyentuh sesuatu yang ditulis padanya AlQuran seperti dinding atau papan, dengan syarat dituliskan ayat AlQuran itu untuk dibaca. Faham daripada syarat untuk dibaca itu, jika dengan kerana azimat atau kerana mengambil berkat maka tiada mengapa (yakni tidak haram menyentuhnya). Seperti dinar atau wang kertas atau kertas yang ditulis atasnya ayat AlQuran selain daripada untuk dibacakan dia.

3. Haram menyentuh kulit AlQuran walaupun dengan berlapik.

4. Haram menanggung AlQuran.

5. Haram juga menyentuh kulit AlQuran walaupun ia masih dinisbahkan kepada AlQuran.

6. Tidak haram jika menyentuh dan menanggung AlQuran itu kerana menyelamatkan ia daripada dihina seperti daripada jatuh ke tangan orang kafir atau daripada jatuh atas lantai.

Perhatian :

1. Wajib ibubapa menegah anak yang belum mumayyiz daripada menanggung AlQuran. Mumayyiz, yakni anak yang masih belum pandai membeza yang baik dan buruk iaitu belum pandai mengurus membersihkan diri atau makan dengan sendiri, atau pakai pakaian dengan sendiri, biasanya dalam lingkungan umur 6 atau 7 tahun.

2. Sunat menegah anak yang telah mumayyiz daripada menanggung AlQuran jika selain daripada belajar AlQuran dan membacanya.

3. Haram ibubapa menyuruh anak yang belum mumayyiz menanggung AQuran kerana untuk mengalihkan AlQuran dari suatu tempat ke tempat yang lain. Seperti ibubapa yang tidak berwudhuk lalu menyuruh anaknya mengangkat dan mengalihkan AlQuran dari suatu tempat ke tempat yang lain. 

Wallahua'alam.
Ini hanyalah daripada ilmu yang sedikit yang telah aku pelajari daripada masyaikhku. Mohon teguran jika ada salah silap. 

Sunday, August 7, 2011

Bagaimana sepatutnya kita menerima nasihat

Pesanan Al-Imam Ghazali r.a :

Wahai anakku yang tercinta,

Memberi nasihat itu sebenarnya mudah sahaja, yang berat ialah menerima isi nasihat tersebut kerana setiap nasihat itu dirasakan tersangat pahit bagi siapa yang selalu mengikuti hawa nafsunya. Nafsu sangat mencintai perkara-perkara yang dilarang apatah lagi bagi orang yang mencari ilmu yang rasmi (maksudnya mencari ilmu untuk mendapat suatu gelaran rasmi) dan sentiasa sibuk untuk menonjolkan kehebatan dirinya dan menghimpunkan kesenangan dalam dunia kerana orang yang seperti ini selalu menganggap bahawa hanya dengan sekadar memperolehi ilmu itu sudah cukup menjadi sebab keselamatannya dan kebahagiaannya dan ia tidak perlu beramal dengan ilmu yang dipelajarinya. Orang yang seperti ini sebenarnya telah terpengaruh dengan iktikad dan pemikiran ahli falsafah. Subhanallah, alangkah kelirunya pemikiran sseperti ini...