Rukun kedua mengambil wudhuk adalah membasuh wajah.
Wajah ertinya muka. Bermula muka itu sebahagian daripada kepala. Muka adalah kawasan kepala yang menghadap ke hadapan, sekaliannya adalah muka.
Had panjang muka iaitu bermula daripada tempat tumbuh rambut (atas) sehingga bawah tulang dagu (bawah).
Dan had lebar muka iaitu bermula daripada anak telinga kiri ke anak telinga kanan. Kata setengah ulama', daripada telinga kiri ke telinga kanan. Keluar daripada khilaf itu sunat.
Beberapa perhatian :
1. Segala rambut yang tumbuh di dalam kawasan muka adalah wajib di basuh.
Contoh1 : Rambut perempuan yang dibahagian sideburn (jika pada lelaki) adalah wajib dibasuh keseluruhannya, jika panjangnya sepanjang tembok cina sekalipun, kerana ia adalah termasuk didalam had muka. Jika ditarik dan diikat rambut itu kebelakang, maka tidak sah wudhuknya. Dan apabila tidak sah wudhuknya, tidak sah lah sembahyangnya, sama seperti orang yang tidak sembahyang. Begitu juga pada ketumbuhan yang ada didalam had muka, wajib dibasuh sekaliannya.
Contoh2 : Bagi janggut lelaki yang tebal (yakni sekira-kira tidak nampak kulit mukanya apabila dipandang dari hadapan), memada lah hanya menyampaikan air kepada zahir bulu janggut sahaja.
2. Wajib melebihkan basuhan daripada had muka.
Contoh : Lebihkan basuhan dibawah tulang dagu. Begitu juga hidung, dilebihkan sedikit daripada had zahir hidung. Dan demikian juga anak telinga.
-------------------------------------------------------------------------------------------
Berilah perhatian pada masalah ini, satu bahagian daripada bahagian-bahagian sembahyang ini. Mudah-mudahan amalan sembahyang kita diterima oleh Allah swt dan dipelihara diri kita daripada perkara keji dan mungkar sebagaimana firmanNya : " Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perkara keji dan mungkar".
Betapa setiap hari kita bersembahyang menunaikan perintahNya, tetapi adakah sembahyang kita menjadi benteng mencegah diri kita daripada perkara yang maksiat? Mengumpat adalah maksiat, membuka aurat adalah maksiat, menunjuk-nunjukkan kecantikan adalah maksiat, memakai wangian supaya di bau oleh lelaki yang ajnabi adalah maksiat, melihat perempuan adalah maksiat, berdua-duaan lelaki perempuan yang ajnabi adalah maksiat, menghina dan mengeji orang lain adalah maksiat, minum arak, rasuah, zina, buang anak dan sebagainya. Inilah salah satu punca maksiat berleluasa, perkara keji dan mungkar bertambah-tambah hari demi hari, puncanya apa? Jahil ilmu agama.
Hanyalah sembahyang kita menjadi sembahyang pada pandangan manusia, tetapi ia nya sia-sia pada pandangan Allah swt. Maka tuntutlah ilmu yang fardhu 'ain wahai saudara-saudaraku.
Wallahua'lam.
Ini hanyalah daripada ilmu yang sedikit yang telah aku pelajari daripada masyaikhku. Mohon teguran jika ada salah silap.
Monday, May 30, 2011
Wednesday, May 25, 2011
Air Teh

Soalan : Apakah hukum air yang dimasuki bangkai semut?
Jawapan : Pada air yang dimasuki bangkai semut ada padanya tafsil (perincian).
1. Jika masuk bangkai semut itu ke dlm air dengan perbuatan kita sendiri, maka jadi air teh itu air mutannajis. Misalnya, Aminah memasukkan gula bersama semut (kebiasaannya semut bercampur dengan gula) ke dalam air teh ketika sedang membancuh teh. Maka, jadi air teh hukumnya tidak suci dan tidak boleh menyucikan yakni mutannajis.
2. Dan jika masuk semut itu ke dlm air dengan sendiri yakni bukan dengan perbuatan kita sendiri, maka jadilah bangkai itu najis yg dimaafkan.
Soalan : Apakah hukum meminum air mutannajis?
Jawapan : Hukumnya haram.
Perhatian, jika kita menjadi tetamu dan dihidangkan kepada kita air teh yg ada didalamnya bangkai semut, maka hendaklah kita ihtimalkan ( tanggungkan ) bahawa semut itu masuk ke dalam air teh itu dengan sendiri, bukan dengan perbuatan tuan rumah. Jalan penyelesaian, buang bangkai semut itu dan minum air itu.
- Bagi penuntut-penuntut ilmu, sebaiknya elakkan daripada meminum air yg telah dimasuki bangkai semut.
Wallahua'lam.
Ini hanyalah daripada ilmu yang sedikit yang telah aku pelajari daripada masyaikhku. Mohon teguran jika ada salah silap.
Saturday, April 16, 2011
Sifat 20 dan ASWJ
Serba sedikit isi dalam pengajian sifat 20 yang telah menjadi akidah umat Islam sejak turun temurun dari zaman salafunassoleh. Mari sama-sama kita ambil pelajaran.
Sifat Wajib Bagi Allah yang wajib atas tiap-tiap mukallaf mengetahui iaitu 20.
Sifat Mustahil Atas Allah yang wajib atas tiap-tiap mukallaf mengetahui iaitu 20.
Sifat Harus Bagi Allah yang wajib atas tiap-tiap mukallaf mengetahui iaitu 1.
Sifat Wajib Bagi Rasul yang wajib atas tiap-tiap mukallaf mengetahui iaitu 4.
Sifat Mustahil Atas Rasul yang wajib atas tiap-tiap mukallaf mengetahui iaitu 4.
Sifat Harus Bagi Rasul yang wajib atas tiap-tiap mukallaf mengetahui iaitu 1.
Maka hasillah daripada mengetahui segala sifat-sifat yang demikian iaitu 50 ( 20+20+1+4+4+1) serta mengiktikad akannya itu ialah iman.
Wajib atas tiap-mukallaf itu mengiktikad akan aqidah yang 50 ini berserta dengan dalilnya.
Bagi mereka yang mengiktikad akan aqidah yang 50 ini tanpa dalil dinamakan mereka itu taqlid. Maka taqlid itu di atas khilaf ulama’, setengah ulama’ mengatakan fasiq dan setengah ulama’ mengatakan kafir. Wal’iyazubillah.
Iman inilah yang menjadi asas bagi tiap-tiap mukallaf iaitu tangga bagi mengesahkan ibadat.
Telah berkata Imam Ghazali r.a : “ Tidak sah ibadat seseorang melainkan setelah ia mengenal tuhannya”.
Inilah jalanan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang telah disusun oleh ulama’ iaitu Imam Abu Hasan Al-Asyaari (Asyairah) dan Imam Abu Mansur Al-Maturidi (Maturidiah). Dan jalanan akidah ini telah diikuti oleh majoriti ulama’-ulama’ dunia yang muktabar setelah zamannya.
Mudah-mudahan kita berada diatas jalanan akidah yang benar. Allah memberi taufik dan hidayah kepada siapa yang ia kehendaki.
Wallahu taala a'la waa'lam.
Monday, April 4, 2011
Mandi Hadas
Mandi hadas adalah sebahagian daripada kewajipan atas seseorang mukallaf samaada lelaki atau perempuan yang telah baligh untuk menunaikannya. Ia dilakukan dengan meratakan air pada keseluruhan badan dengan disertakan dengan niat. Ia merupakan salah satu syarat bagi mengesahkan ibadat sembahyang.
Rukun mandi hadas ada dua :
1. Niat iaitu " sahaja aku mengangkat hadas"
2. Meratakan air keseluruh badan
Sebab bagi wajib mandi itu ada 5 :
1. Sebab maut
2. Nifas
3. Haid
4. Wiladah atau mani
5. Janabah
Penulis menulis bab ini adalah untuk menyentuh masalah yang timbul ketika mandi hadas yang selalu dilalaikan oleh orang ramai, mungkin kerana kejahilan ilmu atau kurang prihatin dalam ibadat.
Masalah 1 :
Hendaklah ketika mula mandi hadas, diniatkan mandi hadas itu ketika mana air sampai pada anggota badan.
Wajib diniatkan dalam hati "sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah taala" hendaklah disertakan ketika air sampai pada anggota badan. Jika tidak, maka niat tidak sah. Adapun lafaz niat "sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah taala" sebelum mula mandi hadas adalah sunat.
Masalah 2 :
Pada tubuh badan manusia terdapat beberapa tempat yang tidak boleh sampai air padanya melainkan wajib mencangkung. Bagi lelaki terdapat 1 tempat iaitu dubur dan bagi perempuan terdapat 2 tempat iaitu faraj (zahir faraj) dan dubur. Penting : Wajib mencangkung ketika mandi hadas supaya sampai air pada bahagian disebutkan tadi (yang tidak boleh sampai air padanya melainkan dengan mencangkung). Tidak sah mandi hadas melainkan mesti mencangkung.
Wallahua'lam.
Ini hanyalah daripada ilmu yang sedikit yang telah aku pelajari daripada masyaikhku. Mohon teguran jika ada salah silap.
Rujukan : 1. Kitab siratul mustaqim bab pada menyatakan segala yang mewajibkan mandi
Rukun mandi hadas ada dua :
1. Niat iaitu " sahaja aku mengangkat hadas"
2. Meratakan air keseluruh badan
Sebab bagi wajib mandi itu ada 5 :
1. Sebab maut
2. Nifas
3. Haid
4. Wiladah atau mani
5. Janabah
Penulis menulis bab ini adalah untuk menyentuh masalah yang timbul ketika mandi hadas yang selalu dilalaikan oleh orang ramai, mungkin kerana kejahilan ilmu atau kurang prihatin dalam ibadat.
Masalah 1 :
Hendaklah ketika mula mandi hadas, diniatkan mandi hadas itu ketika mana air sampai pada anggota badan.
Wajib diniatkan dalam hati "sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah taala" hendaklah disertakan ketika air sampai pada anggota badan. Jika tidak, maka niat tidak sah. Adapun lafaz niat "sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah taala" sebelum mula mandi hadas adalah sunat.
Masalah 2 :
Pada tubuh badan manusia terdapat beberapa tempat yang tidak boleh sampai air padanya melainkan wajib mencangkung. Bagi lelaki terdapat 1 tempat iaitu dubur dan bagi perempuan terdapat 2 tempat iaitu faraj (zahir faraj) dan dubur. Penting : Wajib mencangkung ketika mandi hadas supaya sampai air pada bahagian disebutkan tadi (yang tidak boleh sampai air padanya melainkan dengan mencangkung). Tidak sah mandi hadas melainkan mesti mencangkung.
Wallahua'lam.
Ini hanyalah daripada ilmu yang sedikit yang telah aku pelajari daripada masyaikhku. Mohon teguran jika ada salah silap.
Rujukan : 1. Kitab siratul mustaqim bab pada menyatakan segala yang mewajibkan mandi
Sunday, April 3, 2011
Bulu Kucing adalah Najis?
Soalan1 : Apakah bulu kucing adalah najis?
Jawapan : Disini nasnya, aku petik daripada kitab hidayatus sibyan (mazhab syafie) pada fasal menyatakan ain najis dan cara menghilangkannya.
“Bermula sekalian binatang suci sekaliannya pada ketika hidupnya melainkan anjing dan babi. Bermula segala juzu’ bangkai iaitu najis sekaliannya melainkan bangkai manusia, ikan, dan belalang. Dan bermula juzu’ yang bercerai daripada binatang yang hidup iaitu seperti bangkainya pada hukum najisnya dan sucinya melainkan bulu binatang yang halal dimakan akan dia iaitu suci.”
Hasillah daripada ayat diatas, bulu kucing adalah bukan najis ketika ia masih belum tertanggal daripada tubuhnya. Tetapi adalah bulunya itu najis setelah tertanggal daripada tubuhnya samaada ketika hidupnya atau matinya kerana mengambil hukum daripada hukum selepas matinya (bangkai kucing adalah najis).
Ringkasan
Bulu kucing yang belum tertanggal daripada badannya = tidak najis
Bulu kucing yang sudah tertanggal daripada badannya = najis
Soalan2 : Jadi bagaimanakah hukumnya sembahyang kita jika ia melekat pada sejadah yang diguna untuk sembahyang?
Jawapan : Bulu kucing yang melekat pada sejadah, ada huraian padanya. Sah sembahyang kita jika bulu kucing itu melekat pada sejadah yang bukan daripada tempat sembahyang. Tidak sah sembahyang jika bulu kucing melekat pada sejadah yang adalah tempat sembahyang.
Tempat sembahyang adalah tempat atau ruang yang kita gunakan untuk sembahyang, iaitu tempat yang ditindih oleh tubuh badan kita. Bukanlah keseluruhan sejadah itu tempat sembahyang.
Masalah
Bagi orang-orang yang membela kucingnya didalam rumah. Seeloknya hindarkan kucing daripada bermain-main ditempat sembahyang. Sebelum sembahyang, pastikan tiada bulu kucing yang melekat pada pakaian sembahyang dan tempat sembahyang kerana mungkin dalam perjalanan daripada tempat wuduk ke tempat sembahyang kita terpijak bulu kucing. Mudah-mudahan sembahyang kita diterima oleh Allah swt.
Wallahua’lam.
Ini hanyalah daripada ilmu yang sedikit yang telah aku pelajari daripada masyaikhku. Mohon teguran jika ada salah silap.
Saturday, March 19, 2011
Sima' Pemalu Hati
Qasidah Waktusyahr daripada Nurul Mustofa
Telah berkata Imam Ghazali : " .. Bermula lagu syair bernazam itu memberi bekas ia bagi kesukaan roh yakni hati.. "
Telah mencari-cari oleh mereka itu pemuda pemudi pada ini zaman akan hiburan-hiburan Islam. Tetapi mereka tidak menjumpainya lalu telah mengambil oleh mereka itu (pemuda pemudi pada ini zaman) akan hiburan-hiburan daripada bukan Islam. Tanpa disedari, telah mengikut oleh mereka itu akan jejak langkah budaya bukan Islam melalui lagu-lagu itu. Maka, hati mereka itu dikerasi dengan lagu-lagu tersebut. Oleh kerana itu, terpancarlah sifat-sifat yang buruk pada kelakuan mereka itu daripada hati yang keras.
"Lembutkan hati-hati kalian dengan berzikir siang dan malam, senang maupun susah kerana dengan berzikir hati kalian akan menjadi tenang. "
- Imam Habib Abdullah bin Alawi Al-Haddad-
Qasidah adalah pujian-pujian kepada Rasullullah saw. Ia adalah sebahagian daripada hiburan-hiburan didalam Islam supaya bertambah kecintaan kepada Rasulullah saw. Telah berkata Imam Ghazali : " .. Bermula lagu syair bernazam itu memberi bekas ia bagi kesukaan roh yakni hati.. "
Sunday, March 13, 2011
Ilmu atau Ijazah?
Ijazah adalah tanda kelulusan bagi seseorang yang tamat pengajiannya dalam sesebuah bidang. Persoalannya, adakah ijazah menjamin ketinggian ilmu seseorang? Mari baca sedikit perkataan ulama'.

Tulisan nota kaki buku “ Shahih Shifah Solah an-Nabi” karangan Sayyid Hasan bin Ali As-Saqqaf menukilkan tulisan gurunya, Al-Muhaddith Sayyid Abdullah bin Shiddiq Al-Ghumari didalam kitabnya ArRadd Al-Muhkam al-Matin :
“ Sekiranya kamu meyakini bahawa kertas ijazah yang kamu dapat boleh menjadikan kamu berada dalam kelompok para ulama’ dan boleh membawamu bertanggungjawab untuk menyampaikan ilmu, maka kamu telah salah dalam keyakinanmu itu, serta sangat jauh dari kebenaran.
Tidakkah kamu tahu bahawa kertas ijazah inilah yang kadang-kadang merosakkan ilmu, bahkan mematikannya serta menjadikan orang-orang yang jahil sebagai ulama’.
Dan musibah yang lebih besar ialah apabila orang awam menjadikan orang jahil ini sebagai tempat rujukan kepada mereka dalam masalah-masalah hukum agama, sedangkan dia sendiri adalah tidak mengerti hukum seperti orang awam juga, tidak melebihi mereka sedikitpun, Cuma yang bezanya dia memiliki ijazah.
Kerana seorang alim yang menjadi keutamaannya adalah ilmu. Dia tidak terpedaya dengan kertas atau beberapa lembaran ijazah. Seorang alim adalah selalu tekun menelaah kita-kitab dan selalu mengadakan pengkajian.
Ijazah (yang ada pada zaman sekarang) adalah sesuatu yang baru (kerana ia tidak wujud pada zaman ulama’ dahulu). Ia boleh menjadi suatu yang tercela dan membahayakan kerana ia menjadi sebab atau alat untuk penindasan ilmiah pada zaman sekarang ini. Ia juga menjadi sebab kebergantungan pembawanya kepada mencari kerja melalui helah keilmuan, sedangkan para ulama’ terdahulu, sebelum adanya ijazah, hidup sebagai usaha sendiri dan menyebarkan ilmu dengan ikhlas, maka fikirkanlah dengan mendalam..
Adalah ilmu pada masa dahulu selalu bertambah dan ulama’ selalu dalam kemuliaan dan mempunyai kedudukan. Kata-kata mereka didengar, arahan-arahan mereka ditaati, bukan hanya ditaati oleh orang awam bahkan raja-raja, khalifah, dan orang-orang yang berpangkat.. Wallahualam”
Sebagai pesananku kepada kalian yang menuntuti ilmu agama :
- Carilah ilmu agama dengan hati yang ikhlas. Ikutilah jalan-jalan ulama' terdahulu salafunassoleh dalam perjalanan mencari ilmu. Belajarlah ilmu daripada guru-guru yang beramal dengan ilmunya. Jangan engkau anggapkan bahawa engkau telah mempelajari ilmu agama sekiranya dahulu engkau belajar sedang hatimu tidak ikhlas, maka sekarang hendaklah engkau cari ilmu itu dengan hati yang bersih.
- Berhati-hatilah dengan tipudaya ijazah yang ada pada hari ini, jangan jadikan ijazah itu sebagai ilmu pada diri engkau dan diri orang lain. Dengan makna, apabila engkau telah memperolehi ijazah, berlaku adillah pada dirimu dengan tahap keilmuanmu, jangan malu untuk berkata "tak tahu" pada perkara yang engkau tidak tahu.
Juga pada gurumu, jangan engkau memilih gurumu kerana sijilnya (kelepasan universitinya, PHDnya, atau Masternya, atau belajar ditanah Arab). Tetapi pilihlah gurumu itu kerana ilmunya dan waraknya.
Subscribe to:
Posts (Atom)